Tiga hafizah 30 juzuk bergelar graduan fizik gunaan

NILAI: Dalam ribuan graduan yang diraikan pada majlis konvokesyen kali ini, tumpuan terarah kepada tiga wanita muda yang bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sains Fizik Gunaan, malah turut bergelar Hafizah Al-Quran 30 juzuk.
Mereka ialah Izzatul Faqihah Mohd Azahar, Mishkah Azzahirah Suwandi, dan Siti Nur Syakirah Ahmad Afendi, yang kesemuanya berusia antara 23 hingga 24 tahun.
Ketiga-tiga graduan ini memulakan perjalanan hafazan pada usia yang berbeza.
Izzatul Faqihah mula menghafal pada usia 13 tahun dan berjaya menamatkannya dalam tempoh empat tahun.
Beliau berkongsi bahawa peralihan terus daripada sekolah rendah biasa ke program hafazan di Tingkatan Satu merupakan cabaran besar, malah beliau teringat kesukaran menghafal Surah An-Naba’ yang mengambil masa lebih daripada tiga hari pada permulaannya.
Sementara itu, Mishkah Azzahirah Suwandi mengakui hafalannya bermula dalam keadaan terpaksa pada awalnya, kerana didikan sejak kecil dan semua adik-beradiknya juga bergelar Hafizah.
Namun, perasaan itu berubah setelah beliau mula merasai kemanisan dan nikmat hafazan yang hanya difahami oleh penghafal Al-Quran.
Siti Nur Syakirah pula berkongsi cabaran ketika beliau bertukar dari sekolah biasa ke sekolah agama pada peringkat yang agak lewat.
Beliau merasa terkejut dan sedikit tertekan melihat kebanyakan rakan sebaya sudah hampir menamatkan 30 juzuk, sedangkan beliau baru hendak memulakanya.
Walau bagaimanapun, beliau menguatkan diri dan berjaya menamatkan hafazan ketika berada di Tingkatan Lima.
Kesemua mereka sepakat bahawa bahagian paling mencabar bukanlah proses hafazan itu sendiri, tetapi menguruskan masa, tekanan akademik, dan perasaan rindu terhadap keluarga.
Izzatul Faqihah menceritakan betapa sukarnya mengimbangi kelas akademik, kerja sekolah, dan tuntutan hafazan baharu yang perlu disiapkan pada waktu malam, di mana keutamaan sering bertembung.
Mishkah Azzahirah menambah, tekanan emosi seperti kerinduan terhadap ibu bapa di asrama turut mengganggu fokus hafazan.
Beliau kadangkala berasa cemburu melihat rakan lain yang mempunyai lebih banyak masa lapang, tetapi sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa Allah memilih mereka kerana mereka mampu.
Bagi Siti Nur Syakirah, beliau perlu berusaha keras mengejar akademik kerana subjek seperti Bahasa Arab yang berbeza daripada sekolah lamanya, selain perlu mencapai sasaran hafazan yang ditetapkan pada masa yang sama.
Walaupun diuji, ketiga-tiganya menegaskan mereka tidak pernah benar-benar berniat untuk mengalah.
Mishkah sentiasa berpegang kepada pesanan guru bahawa anak yang menghafaz Al-Quran boleh membawa ibu bapa ke syurga, yang sentiasa membangkitkan kekuatannya.
Siti Nur Syakirah pula menjadikan rakan-rakan yang laju menghafal sebagai pembakar semangat, membuatkan tiada masa untuk rasa ingin berhenti.
Walaupun kini sudah bergelar graduan dan memasuki alam pekerjaan, ketiga-tiga mereka tetap menjaga hafazan mengikut rutin masing-masing.
Izzatul Faqihah menjadikan pesanan ibunya sebagai pegangan: bahawa jika kita menjaga Al-Quran, Allah akan mempermudahkan segala urusan.
Oleh itu, beliau akan sentiasa mendahulukan Al-Quran meskipun sibuk dengan peperiksaan.
Mishkah, yang kini bertugas di Terengganu, menetapkan minimum murajaah (ulangan) setiap minggu, yang dilakukan pada hujung minggu jika tidak sempat pada hari biasa, asalkan proses itu tidak terhenti.
Siti Nur Syakirah turut bersetuju, menekankan bahawa membaca walaupun hanya satu ayat sehari adalah penting, asalkan tidak meninggalkan Al-Quran.
Meskipun bergelar Hafizah, minat mereka terhadap bidang sains tetap mendalam.
Seorang graduan menyatakan cita-cita untuk menjadi jurutera dalam bidang Fizik.
Siti Nur Syakirah pula merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana, dengan impian menjadi seorang pensyarah.
Ketiga-tiga mereka mengirimkan pesanan kepada para pelajar, terutamanya golongan Hafizah dan bakal Hafizah.
Izzatul Faqihah menasihatkan agar mencari ketenangan dalam Al-Quran, jika merasa sedih atau marah, ambil wuduk dan memulakan bacaan.
Siti Nur Syakirah menambah, walaupun tidak sempat membaca banyak, satu ayat sehari sudah memadai, asalkan hubungan dengan Al-Quran tidak terputus.
Akhir sekali, Mishkah mengingatkan bahawa hafazan adalah sebuah anugerah, dan jika Allah memilih seseorang untuk hafal Al-Quran, itu tanda mereka mampu, justeru janganlah disia-siakan.
Nurul Fathihah Shaipol Azman



