Berita

Aminuddin sumbang RM100,000 kepada 44 PPDK Negeri Sembilan

SEREMBAN: Sebanyak 44 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Negeri Sembilan menerima dana kewangan berjumlah RM100,000 daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

“Warga Orang Kurang Upaya (OKU) sangat dekat dengan hati saya kerana mereka sungguh istimewa.

“Justeru bagi menghargai usaha yang dijalankan PPDK di seluruh negeri ini, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan bersetuju menyumbangkan dana berjumlah RM100,000 kepada semua 44 PPDK di seluruh Negeri Sembilan,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Negeri Sembilan Tahun 2021, di Palm Hotel Seremban pada Ahad.

Konvensyen dari 19 November hingga 21 November itu melibatkan 177 peserta yang terdiri daripada pengerusi serta petugas PPDK dari seluruh Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata, antara matlamat PPDK adalah untuk memberi peluang kepada golongan OKU untuk mengintegrasikan diri dalam masyarakat.

“Di samping itu, PPDK turut menbantu ibubapa mendapatkan maklumat lebih terperinci dalam mendidik anak-anak istimewa mereka.

“Bagi kanak-kanak OKU pula, PPDK dapat membantu mereka mendapatkan pendidikan yang sesuai selaras dengan keadaan mereka.

“Besarlah harapan saya agar PPDK di seluruh negeri akan terus mengorak langkah untuk memberikan pembangunan seimbang dan kesejahteraan kepada golongan OKU dalam menjana pembangunan OKU yang produktif serta kehidupan berdikari,” ujar Aminuddin.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button