Berita

Aminuddin umum bantuan mahasiswa dinaikkan RM1,800 setahun

SEREMBAN: Bantuan Sara Hidup Mahasiswa Anak Negeri Sembilan akan dinaikkan kepada RM150 sebulan bermula bulan September ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS) telah mewujudkan satu inisiatif; Bantuan Sara Hidup Mahasiswa Anak Negeri Sembilan bagi membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan di universiti awam.

“Bantuan ini diperkenalkan apabila saya mendapat laporan bahawa ada segelintir mahasiswa yang tidak cukup wang belanja sehingga ada yang terpaksa berlapar.

“Justeru itu bermula tahun 2019, mahasiswa anak Negeri Sembilan yang memerlukan menerima bantuan RM100 sebulan.

“Namun, sejak akhir-akhir ini berlaku kenaikan harga barang di atas beberapa faktor.

“Maka Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk menaikkan bantuan ini kepada RM150 sebulan; maka mahasiswa yang berkelayakan akan menerima bantuan RM1,800 setahun berbanding RM1,200 sebelum ini,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan mempunyai kemampuan kewangan untuk menaikkan bantuan ini hasil ketelusan dan penjimatan yang berjaya dilaksanakan sejak mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada 9 Mei 2018.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Penyerahan Sumbangan dan Mesyuarat Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Negeri Sembilan ke-160 di Pejabat Yayasan Negeri Sembilan.

Turut hadir, Pengarah YNS, Encik Nazri Kassim.

Sila klik pautan di bawah bagi mendapatkan maklumat berkenaan cara, syarat dan kelayakan untuk memohon bantuan tersebut.

https://www.yns.gov.my/v7/ms

Sebarang pertanyaan sila hubungi Yayasan Negeri Sembilan di talian 06-7628046.

Show More

Related Articles

Back to top button