Anak orang Seremban menang pingat emas Olimpik
SEREMBAN: Kontingen negara tidak memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang baru sahaja melabuhkan tirai malam tadi.
Namun, mungkin ramai yang tidak mengetahui pemenang pingat emas acara pentathlon moden, Joseph Choong, merupakan anak kepada seorang bapa yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.
Menurut laporan The Vibes, bapa atlit berusia 26 tahun ini, Dr.Michael merupakan anak kelahiran Seremban.
Dr.Michael seorang doktor perubatan telah berhijrah ke London pada tahun 90an dan berkahwin dengan pasangannya Puan Beverly, seorang warga British yang juga seorang doktor.
Michael mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah St.Paul, Seremban dan sentiasa menggalakkan Joseph dan adiknya Henry, 23, yang juga atlit pentathlon moden aktif dalam sukan.
Joseph memenangi acara renang 200 meter gaya bebas, lawan pedang, equestrian (pertunjukan lompat kuda), menembak (pistol) dan larian ‘laser’ 3,200 meter.
Kesemua acara ini berlangsung dalam masa 24 jam dan merupakan salah satu acara yang sangat mencabar di Sukan Olimpik Tokyo.
Joseph adalah atlit Great Britain yang pertama memenangi pingat emas pentathlon moden di Sukan Olimpik.
Joseph yang lahir di Orpington, Kent memiliki Ijazah Sarjana Muda Matematik dari University of Bath.
“Saya sentiasa berazam ingin menjadi yang terbaik di dunia. Impian menjadi kenyataan,” kata beliau kepada BBC selepas kemenangan beliau.
Kredit photo: Olympics.twitter