Berita

PH GEM: Usahawan wanita terima peralatan digital dan RM3 ribu

Bagi meningkatkan hasil jualan di platform digital (online)

SEREMBAN: Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon menyampaikan sumbangan telefon bimbit, mesin pencetak (thermal printer), talian telefon pra-bayar dan bantuan kewangan RM3,000 kepada empat usahawan wanita.

Menurut Nicole, peserta ini merupakan peserta terpilih program Power House Gemilang (PH GEM).

Peserta ini diberi kursus dan latihan seperti Kursus Kerjasama PG MALL, sesi motivasi dalam perniagaan, Kursus Perkongsian Perlindungan Perniagaan PERKESO, Kursus Pengurusan Kewangan dan Aliran Tunai Asas Keusahawanan Bank Rakyat dan Kursus Perniagaan Online dan Digital Marketing Strategy (SHOPEE).

Empat usahawan wanita dipilih untuk mempromosikan produk masing-masing.

“Puan Teh Chin Looi dari MPKK Kampung Baru Mambau dengan produk kuih bunga matahari dan pelitup muka bercorak.

“Puan Leela Machap dari Persatuan Jahitan dan Kraftangan Wanita Tampin yang menjahit baju kanak kanak dan baju moden perempuan.

“Puan Marzaili Mohd dari MPKK Kampung Rasah dengan produk sejadah, sarung tangan dan scunchies.

“Puan Malarvizhi Krishnan dari Persatuan Harapan Persekitaran Hijau yang menghasilkan tiga jenis muruku dan bongkah cendawan,” ulas Nicole.

Nicole mahu produk dieksport ke luar negara

Nicole berkata, beliau mahu produk yang dihasilkan oleh peserta PH GEM bukan sahaja dipasarkan di Negeri Sembilan, malah dapat dipasarkan di seluruh negara dan dieksport ke luar negara.

“Sebab itu kursus ini diberikan kepada peserta ini agar boleh menggunakan kaedah pemasaran secara digital untuk mengembangkan pasaran produk mereka.

“Sumbangan telefon bimbit, thermal printir dan talian telefon pra-bayar kepada peserta ini bagi membolehkan mereka mengembangkan lagi perniagaan dan memasarkan produk mereka secara atas talian (online).

“Bantuan dana RM3,000 bagi membantu mereka menghasilkan produk yang lebih banyak dan meningkatkan hasil jualan di platform digital (online) dengan jualan pencapaian minima RM3,000 setiap sebulan,” ujar Nicole.

Nicole mengucapkan syabas dan tahniah kepada PH GEM dan Kumpulan LEGACY dari Universiti Kebangsaan Malaysia di atas usaha menjayakan kursus ini.

Nicole yang juga ADUN Bukit Kepayang menyerahkan sumbangan peralatan digital dan dana kewangan kepada empat usahawan wanita ini di pejabatnya di Wisma Negeri, Seremban.

Show More

Related Articles

Back to top button