Berita

Anwar saran bekerja dari rumah, pelaksanaan berperingkat sedang diteliti

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencadangkan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat dan terpilih bagi penjawat awam sebagai antara langkah menangani kesan krisis tenaga global yang semakin meruncing.

Menurut beliau, cadangan itu kini sedang diteliti kerajaan bagi memastikan bekalan tenaga negara terus stabil dan dapat dinikmati rakyat, khususnya dalam situasi ketidaktentuan akibat konflik berpanjangan di Asia Barat.

“Langkah-langkah lain sedang difikirkan termasuk keputusan menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti bekerja dari rumah — penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah.

“Sektor swasta juga digesa supaya mengambil pendekatan sama dengan melaksanakan kaedah kerja fleksibel, sebagaimana yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan sebelum ini.

“Dalam pada itu, kerajaan akan terus komited untuk terus mengekalkan disiplin dalam perbelanjaan negara, selain memastikan tiada ketirisan atau pembaziran dalam pengurusan sumber,” kata Anwar.

Sebelum ini, kerajaan turut mengumumkan penyelarasan kelayakan subsidi di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) sebagai sebahagian usaha menstruktur semula penggunaan tenaga.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Dato’ Fahmi Fadzil memaklumkan kesesuaian pelaksanaan BDR dalam sektor awam sedang diperhatikan kerajaan, termasuk mengambil kira langkah yang dilaksanakan Thailand yang telah mengarahkan agensi persekutuannya melaksanakan BDR bagi tujuan penjimatan tenaga.

Show More

Related Articles

Back to top button