Berita

Arul: 12 majikan disiasat kerana melanggar akta penginapan pekerja

SEREMBAN: Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, YB J.Arul Kumar telah mengadakan pemeriksaan di beberapa tempat penginapan pekerja di kawasan Senawang pagi kelmarin.

Task Force operasi pemeriksaan yang diketuai oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan ini turut melibatkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), PERKESO dan Jabatan Perhubungan Perusahan (JPP).

Arul Kumar berkata, semua tempat penginapan pekerja perlu mematuhi Akta 446 Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja.

“Di Negeri Sembilan 25 kertas siasatan melibatkan 12 majikan telah dibuka dan disiasat kerana melanggar Akta 446.

“Setakat hari ini (Selasa), 67 majikan melibatkan 348 unit kediaman merangkumi 4,541 orang pekerja telah mendapat kelulusan perakuan daripada Ketua Pengarah JTK untuk dijadikan sebagai tempat penginapan.

“Ia ditambah lagi 6,000 pekerja di sektor estet. Secara keseluruhanya lebih kurang 20 peratus tempat penginapan daripada jumlah tempat tinggal pekerja asing melibatkan lebih kurang 50 ribu orang telah menerima perakuan daripada JTK.

“Selain itu, sepanjang bulan Januari dan Februari 2021, Task Force yang diketuai oleh JTK telah membuat pemeriksaan keatas 367 majikan yang melibatkan 1,180 unit penginapan di seluruh Negeri Sembilan. Operasi pemeriksaan tempat penginapan ini akan dilakukan setiap hari oleh Task Force tersebut,” kata Arul Kumar.

Show More

Related Articles

Back to top button