Berita

Bajet 2022: Tangani isu kenaikan harga barang

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan berharap isu kenaikan harga barang diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, beliau dimaklumkan oleh pemain industri terdapat kenaikan harga barang secara mendadak dalam sektor pembinaan dan makanan ruminan.

“Saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi perhatian dan tumpuan yang lebih bagi menangani masalah kenaikan harga barang tersebut, kerana ia memberi kesan kepada pengguna,” katanya dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco pada Rabu.

Aminuddin berkata, beliau khuatir kenaikan harga makanan ruminan seperti dedak (ternakan), baja dan racun akan menyekat usaha anak muda yang kini cenderung dalam bidang pertanian.

“Sejak pandemik Covid-19, ramai anak muda di Negeri Sembilan mula menunjukkan minat untuk mengusahakan tanah terbiar dengan melakukan kerja-kerja pertanian.

“Jika kos meningkat, saya bimbang ini akan merencatkan minat mereka untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian,” ujar beliau.

Bajet 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di parlimen Jumaat ini.

Show More

Related Articles

Back to top button