Berita

Aminuddin: 50 ribu rakyat Negeri Sembilan akan menerima bantuan khas Covid-19

Peniaga kecil dikecualikan sewa gerai bulan Jun, membabitkan peruntukan RM500 ribu

SEREMBAN: Seramai 50,000 keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19; akan menerima bantuan bakul makanan dari Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan barangan keperluan dapur seperti beras, minyak, gula dan susu akan diagihkan kepada 50,000 keluarga yang amat memerlukan bantuan dari seluruh Negeri Sembilan.

“50,000 keluarga ini akan menerima bantuan barangan makanan bernilai RM100 setiap keluarga dan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk mengecualikan sewa gerai majlis bandaraya, majlis perbandaran dan majlis daerah untuk bulan Jun ini.

“Ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000,” kata Aminuddin.

Pembelian oksigen RM500 ribu untuk Pusat Rawatan Covid-19

Aminuddin juga mengumumkan pembelian oksigen bernilai RM500,000 untuk hospital-hospital di Negeri Sembilan yang dijadikan sebagai Pusat Rawatan Covid-19.

“Secara keseluruhannya untuk Fasa 1, tiga insentif ini membabitkan peruntukan sebanyak RM6 juta di bawah bantuan khas Covid-19.

“Baki RM4 juta kita simpan untuk melihat keperluan dari semasa ke semasa berikutan kita tidak tahu bilakah pandemik Covid-19 ini akan berakhir,” jelas Aminuddin lagi.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco yang diadakan secara atas talian (online) sebentar tadi.

Pada 2 Jun lalu, Aminuddin mengumumkan bantuan khas Covid-19 dengan memperuntukan RM10 juta bagi membantu masyarakat yang sangat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Show More

Related Articles

Back to top button