Berita

Banjir di Negeri Sembilan tiada kaitan dengan pembalakan

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kejadian banjir di beberapa daerah di Negeri Sembilan baru-baru ini tiada kaitan dengan aktiviti pembalakan.

Beliau berkata, timbunan kayu yang hanyut di halaman sebuah rumah kampung di Pantai, Seremban akibat banjir bulan lepas merupakan kayu reput dan kerja-kerja pembersihan di lokasi hanya mengambil masa dua hari.

“Saya jemput semua kalau nak lihat sendiri, daripada kita hanya bercakap, boleh datang dan lihat sendiri apa yang berlaku di Gunung Berembun.

“Ambil gambar dan boleh nilaikan sendiri sama ada kawasan itu kawasan pembalakan atau pun apa yang berlaku adalah kejadian alam,” katanya dalam Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Aminuddin berkata, gambar halaman sebuah rumah yang dipenuhi kayu reput di Pantai di sini dalam kejadian banjir bulan lalu telah mengundang persepsi kononnya ia berpunca daripada aktiviti pembalakan.

“Gambar itu bagi saya nakal dan saya berharap ia tak berulang lagi.

“Saya tak tahu di tempat lain, bagi saya di Negeri Sembilan ia bukan isu pembalakan,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button