BeritaMenarik

Bapa jangan lari daripada tanggungjawab kepada anak selepas bercerai

PORT DICKSON: Golongan bapa dinasihatkan agar tidak lari daripada tanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak selepas bercerai dengan isteri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkongsi pengalaman bagaimana beliau seringkali didatangi oleh golongan ibu tunggal yang tidak diberi nafkah oleh bekas suaminya selepas berlaku proses penceraian.

“Golongan ibu tunggal datang dengan anak-anak ke Pusat Khidmat Rakyat saya memohon bantuan.

“Saya tanya ayah anak-anak ini ada lagi tak?

“Saya berasa sedih apabila diberitahu bapanya masih ada. Bapanya bukan orang susah pun, bekerja dengan pendapatan yang baik.

“Namun, selepas bercerai, ditinggalkan anak-anak ini tanpa diberi nafkah.

“Bukan sedikit, sebahagian besar yang bercerai (bapa) lupa pada tanggungjawabnya beri nafkah kepada anak-anak,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Komuniti Bahagian Sokongan Keluarga dan SULH Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan Tahun 2023 yang dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan bersama-sama dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Masjid Kampung Paya, Port Dickson.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Bahagian Sokongan Keluarga atau BSK adalah satu perkhidmatan yang diwujudkan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) pada 20 Oktober 2008.

“Tujuan utama BSK diwujudkan adalah untuk menangani isu-isu berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan Perintah Nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

“Manakala Proses Majlis SULH telah diwujudkan untuk memendekkan proses kehakiman sekaligus dapat menyelesaikan apa-apa tuntutan dengan bantuan Pegawai SULH yang berwibawa dan kompeten di Mahkamah Syariah,” jelas beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button