Berbasikal dan nikmati keindahan di Lorong Seni Tampin
TAMPIN: Bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Tampin, Majlis Daerah Tampin (MDT) telah mengambil inisiatif mewujudkan sebuah Lorong Seni di Tampin Square.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, lorong ini dihiasi dengan mural-mural kontemporari serta tradisional yang mengetengahkan keunikan Tampin.
“Lorong Seni ini juga dijayakan dengan kerjasama pihak swasta seperti Cycledios yang menawarkan sewaan basikal untuk pelancong.
“Sewaan basikal ini memudahkan pengunjung menikmati keindahan lorong tersebut serta lokasi-lokasi lain secara santai.
“Secara tidak langsung, sewaan basikal ini turut mempromosikan gaya hidup sihat kepada para pengunjung.
“Tahniah diucapkan kepada pihak MDT atas inisiatif yang diambil bagi mengindahkan pekan Tampin,” ujar Aminuddin.
Foto: Nabil Syafiq