BeritaMenarik

Aminuddin cadang hukum hakam dan fatwa baharu dipapar di tv masjid

SEREMBAN: Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) boleh memikirkan untuk menjadikan setiap hukum-hakam atau fatwa baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan dapat dijadikan dalam bentuk digital grafik dan dipaparkan di setiap televisyen di semua 308 buah masjid dalam Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, majoriti masjid mempunyai lebih dari dua televisyen yang hanya memaparkan info-info dan pengumuman pihak masjid.

“Tambahan pula, banyak masjid-masjid masih menggunakan digital grafik dari pejabat mufti bukan dari Negeri Sembilan dan sebahagiannya adalah maklumat dari negara Indonesia.

“Saya harapkan usaha ini dapat dimulakan dari Jabatan Mufti dan diselaraskan dengan JHEAINS.

“Ini termasuk maklumat berkaitan fatwa-fatwa baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti sendiri.

“Hal ini secara tidak langsung dapat menyediakan maklumat yang tepat untuk rujukan setiap umat Islam di negeri ini,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata, pembaharuan ini boleh dijadikan salah satu KPI Jabatan Mufti dan JHEAINS sebagai usaha menyampaikan maklumat dalam bentuk digital kepada masyarakat Islam.

“Saya yakin, gerak kerja dakwah perlu memanfaatkan semua medium termasuk teknologi yang ada.

“Semoga usaha ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” kata Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button