Berita

Caruman i-Suri: Negeri Sembilan sumbang RM527,640 kepada 8,794 suri rumah

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyumbang RM527,640 kepada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) bagi melayakkan 8,794 orang suri rumah dan wanita Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dengan e-Kasih untuk skim i-Suri KWSP.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah sumbangan tersebut adalah caruman bagi setahun dengan setiap penerima menerima RM5 sebulan ataupun RM60 setahun.

“Dengan caruman ini, pencarum secara automatik layak untuk menerima caruman berjumlah RM40 sebulan daripada pihak KWSP melalui skim i-Suri.

“Para pencarum turut menerima faedah daripada KWSP dalam bentuk:

i. Dividen tahunan KWSP
ii. Bantuan Kematian berjumlah RM2,500
iii. Bantuan Hilang Upaya berjumlah RM5,000

“Ini adalah tahun ketiga inisiatif ini dilaksanakan dan sejak tahun 2020 dan 2021, para pencarum di bawah inisiatif ini mempunyai jumlah caruman RM1,081.05 hasil daripada sumbangan RM60 setahun daripada Kerajaan Negeri Sembilan,” kata beliau.

Menurut Aminuddin, jumlah tersebut tidak termasuk dividen bagi tahun 2021 yang akan diisytihar, sumbangan Kerajaan Negeri bagi tahun 2022, serta insentif RM480 Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2022.

“Kerajaan Negeri berharap dengan sumbangan ini, golongan surirumah serta ibu tunggal khususnya daripada golongan yang kurang berkemampuan terbela sewaktu mereka meniti usia tua kelak,” ujarnya.

Aminuddin berkata demikian di majlis ringkas penyerahan cek contoh Bantuan Caruman i-Suri daripada Kerajaan Negeri kepada KWSP di Kediaman rasmi Menteri Besar.

Ketua Pengarah Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menerima cek bagi pihak KWSP.

Sementara itu, kakitangan KWSP Negeri Sembilan telah menyumbangkan dana berjumlah RM10,000 kepada Kerajaan Negeri dalam usaha menangani situasi pasca banjir di Negeri Sembilan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak KWSP atas keprihatinan terhadap mangsa bencana tersebut,” ulas Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button