Tawaran MyKiosk KPKT ditarik segera bagi peniaga tak mulakan perniagaan

NILAI: Tawaran mengisi MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan dibatalkan segera bagi peniaga yang masih belum memulakan perniagaan di premis yang disediakan.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J. Arul Kumar berkata, tempoh sebulan yang diberikan sepatutnya mencukupi untuk mereka membuat persiapan dan memulakan operasi.
“Semasa lawatan saya ke Taman Bunga Raya Mantin baru-baru ini, kesemua 10 unit MyKiosk yang siap pada April lalu telah diserahkan kepada peniaga.
“Sembilan daripadanya sudah mula berniaga.
“Hanya seorang peniaga yang belum membuka perniagaan walaupun surat tawaran telah diberikan lebih sebulan yang lalu,” kata Arul Kumar.
Arul menambah bahawa peniaga yang gagal memanfaatkan kemudahan ini akan digantikan dengan individu lain yang sudah pun menunggu peluang untuk beroperasi.
“Saya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk menarik balik tawaran tersebut dan menyerahkannya kepada calon gantian.
“Ramai yang sudah memohon dan hadir temuduga, jadi tidak timbul isu kekosongan selepas ini.
“Setakat ini 95 peratus MyKiosk di seluruh negeri sudah diluluskan kepada peniaga, tetapi kira-kira 20 peratus masih belum membuka gerai.
“Bukan sahaja di Mantin, malah di lokasi lain juga terdapat peniaga yang lambat memulakan perniagaan.
“Oleh itu, mulai sekarang tiada lagi amaran atau lanjutan tempoh diberikan—sebarang tawaran akan ditarik balik dengan serta-merta.
“Tindakan tegas ini diambil untuk memastikan semua kemudahan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan memberi peluang kepada peniaga yang benar-benar berminat,” tegas Arul.
Langkah ini juga dapat mengelakkan kebimbangan berlakunya penyalahgunaan kemudahan di masa depan, walaupun setakat ini tiada kes ‘dialihgunakan’ dilaporkan.