Berita

Enakmen Anti Lompat Parti lulus di DUN Negeri Sembilan

Mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Negeri

SEREMBAN: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2022, telah diluluskan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin mengemukakan usul tersebut dan disokong sebulat suara oleh ahli dewan yang hadir.

Aminuddin berkata, RUU yang dibentangkan ini bertujuan untuk meminda, memansuhkan peruntukan sedia ada serta memasukkan peruntukan baharu dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (selepas ini disebut UUTKNS) bagi mewujudkan peruntukan larangan ahli Dewan Undangan Negeri bertukar parti.

“Kerajaan Negeri memandang serius tindakan bertukar parti atau lompat parti yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum.

“Ini kerana ia melibatkan mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri,” katanya.

“Justeru itu, bagi membuktikan keseriusan Kerajaan Negeri dalam perkara berkenaan larangan lompat parti ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk merealisasikannya melalui pindaan kepada UUTKNS ini,” katanya.

Aminuddin dalam sidang media berkata, proses mewartakan RUU ini akan mengambil masa lebih kurang sebulan.

“Walaubagaimanapun proses ini tidak memberi implikasi kepada calon parlimen PRU-15 di Negeri Sembilan kerana telah diluluskan terlebih dahulu di parlimen dan diwartakan pada 5 Oktober lalu.

“RUU yang diluluskan pada hari ini untuk peringkat DUN dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hanya akan diadakan pada tahun hadapan.

“Maka kita mempunyai masa yang panjang untuk proses mewartakan RUU Anti Lompat Parti,” jelas Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button