Berita

Fasa 3 Techpark@enstek telah dibuka secara rasmi

SEREMBAN: Projek Fasa 3 Techpark@enstek yang diusahakan oleh TH Properties kini telah dibuka secara rasmi

Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, YB Teo Kok Seong berkata, fasa ini akan dibangunkan di tanah seluas 616.64 ekar di Taman Perindustrian Bandar Enstek.

“Projek Fasa 3 ini dijalankan kerana rekod prestasi yang baik telah ditunjukkan pada Fasa 1 dan Fasa 2 projek ini.

“Kerajaan Negeri juga melihat peranan perindustrian seperti Techpark@enstek ini sebagai suatu sumbangan yang besar terhadap pertumbuhan ekonomi di Negeri Sembilan.

“Projek ini secara tidak langsung membantu peningkatan pelaburan asing ke Negeri Sembilan sekaligus memangkin matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Perkembangan dan pembangunan di Techpark@enstek ini bukan sahaja selari dengan rangka-rangka pembangunan, malah mampu meningkatkan ekonomi dan kemakmuran negeri dalam jangka masa panjang.

“Lokasinya yang terletak di Bandar Enstek sudah tentu akan memberi impak kepada ekonomi kerana kawasan tersebut berada di dalam Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).

“Ia memainkan peranan yang penting bagi mewujudkan kesinambungan ekonomi dan visi jangka panjang wilayah ini untuk menjadi pusat ekonomi yang mampan dan dinamik,” kata Teo.

Teo berkata demikian di majlis Pelancaran Fasa 3 Techpark@enstek sebagai wakil Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Show More

Related Articles

Back to top button