Berita

Ibu tunggal terharu dapat Bantuan C4U

SERTING: “Saya terharu apabila terpilih untuk menerima Bantuan Ibu Tunggal Care For You (C4U IBU TUNGGAL) daripada Kerajaan Negeri Sembilan,” kata ibu tunggal, Hazlina Mokhtar, 35.

Hazlina, ibu kepada tiga anak yang berusia dari setahun hingga lapan tahun berasa gembira apabila terpilih menerima bantuan kewangan RM200.

“Walaupun bantuan ini bersifat one-off, tetapi sekurang-kurangnya ia membantu saya membeli susu dan lampin pakai buang anak.

“Cuma harapan saya, kalau boleh bantuan ini diteruskan sebagai bantuan bulanan,” kata Hazlina dari Felda Raja Alias 2.

Rahimah Arahman, 49, dari Taman Serting Indah, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sembilan yang memperkenalkan bantuan C4U IBU TUNGGAL.

“Ini kali pertama Kerajaan Negeri memperkenalkan bantuan seumpama ini bagi membantu golongan ibu tunggal.

“Saya berasa bersyukur dengan bantuan one-off RM200 ini yang membantu meringankan perbelanjaan keluarga.

“Saya berharap bantuan ini diteruskan pada setiap tahun,” ujar Rahimah yang mempunyai lima orang anak berusia dari 13 tahun hingga 21 tahun.

Anak keduanya berusia 20 tahun baru sahaja mendapat tawaran melanjutkan pendidikan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Mas Idayu Masturi, 36, dari Felda Raja Alias 1, berkata bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban beliau terutamanya dalam keadaan pandemik Covid-19.

Mas Idayu mempunyai empat orang anak berusia dari dua hingga tujuh tahun berharap bantuan ini dapat dijadikan sebagai bantuan bulanan pada masa akan datang.

“Saya hargai pemberian bantuan ini yang sedikit sebanyak meringankan beban saya.

“Namun, saya berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan untuk menjadikan bantuan ini sebagai bantuan bulanan,” katanya.

Penyelaras DUN Serting, Tuan Abdul Rahman Ramli baru-baru ini menyampaikan Bantuan Ibu Tunggal Care For You (C4U IBU TUNGGAL) kepada enam ibu tunggal dari DUN Serting termasuk Hazlina, Rahimah dan Mas Idayu.

“Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah mengumumkan inisiatif C4U IBU TUNGGAL semasa pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2019 dengan menetapkan pemberian khas one-off sebanyak RM200 kepada setiap ibu tunggal yang berdaftar dengan e-Kasih,” jelas Abdul Rahman.

 

Show More

Related Articles

Back to top button