Berita

Individu lengkap dua dos vaksin boleh rentas daerah

SEREMBAN: Individu yang lengkap vaksinasi (dua dos), dibenarkan merentas daerah di Negeri Sembilan bermula 26 Ogos 2021.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun membuat pengumuman ini berikutan Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok.

Antara kelonggaran yang akan diberikan kepada rakyat Negeri Sembilan yang lengkap dua dos vaksin adalah seperti berikut:

1. Rentas Daerah bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan Kad/Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan/passport sebagai bukti apabila diminta untuk berbuat demikian.

2. Aktiviti Pelancongan dalam daerah dan negeri yang sama melibatkan hotel dan homestay. Bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk aktiviti pelancongan di hotel dan homestay dengan mematuhi protokol kesihatan umum.

3. Pengoperasian pejabat kerajaan masih dilaksanakan secara hibrid iaitu melalui kehadiran di pejabat dan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang mana kehadiran fizikal di pejabat ditingkatkan daripada 40 peratus dalam Fasa 1 kepada tidak melebihi 60 peratus dalam Fasa 2 dan baki 40 peratus lagi hendaklah bekerja dari rumah secara penggiliran.

4. Kapasiti kehadiran pekerja bagi sektor swasta yang telah mendapatkan kelulusan beroperasi dan dalam perkhidmatan perlu termasuk operasi dan pengurusan ditingkatkan kepada 80 peratus berbanding 60 peratus dalam Fasa 1.

5. Selain daripada sektor perniagaan makanan/minuman seperti restoren, kedai makan, gerai makan, food truck, penjaja makanan, medan selera dan kiosk makanan yang dibenarkan beroperasi sehingga jam 10.00 malam dalam Fasa 1 PPN sekarang, di bawah kelonggaran Fasa 2 PPN ini, semua sektor perniagaan dan perkhidmatan di bawah perdagangan pengedaran akan dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam (atau mengikut syarat lesen/permit PBT) berbanding sehingga jam 8.00 malam semasa Fasa 1 PPN.

6. Sektor pendidikan membenarkan semua sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan institusi pendidikan berdaftar bawah KPM dibuka bagi menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka terhad kepada pelajar yang menduduki peperiksaan tahun 2021 melibatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa yang ditetapkan oleh KPM.

7. Aktiviti sukan dan rekreasi secara individu yang tidak bersentuhan fizikal bagi tujuan kesihatan kecergasan dan kemahiran kendiri dibenarkan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa.

8. Tambahan sub sektor ekonomi di bawah Perdagangan dan Pengedaran kepada pelanggan-pelanggan yang telah lengkap divaksinasi merangkumi operasi perniagaan seperti berikut:

i. Kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi
ii. Kedai barangan terpakai
iii. Kedai bunga dan nurseri
iv. Kedai kraftangan dan cenderahati
v. Kedai antik
vi. Kedai alat permainan
vii. Kedai permaidani
viii. Kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif
ix. Kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain)
x. Kedai tembakau (termasuk vape dan rokok elektronik)
xi. Kedai barangan rumah dan peralatan dapur
xii. Kedai perabot
xiii. Kedai peralatan sukan
xiv. Kedai aksesori kenderaan
xv. Pusat pengedaran dan jualan kenderaan
xvi. Kedai pakaian, fesyen dan aksesori
xvii. Kedai barangan kemas

Terus kekal patuhi SOP yang ditetapkan

“Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik peralihan daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 PPN.

“Sudah pastinya dengan peralihan ini, pemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dapat dijalankan.

“Kerajaan Negeri berharap agar rakyat Negeri Sembilan terus mengamalkan amalan kendiri serta mematuhi SOP yang ditetapkan agar kes baharu Covid-19 dapat diturunkan dan kita dapat beralih ke fasa seterusnya,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco secara atas talian (online) sebentar tadi.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button