BeritaProgram

Inisiatif Rumah Generasi Baharu Felda akan diperluaskan

PALONG: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan akan memperluaskan inisiatif pemberian lot tanah bagi pembinaan rumah untuk Generasi Kedua Felda di semua tanah rancangan Felda Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri mengambil langkah ini kerana berlaku permasalahan di tanah rancangan Felda apabila ada di kalangan anak peneroka yang telah berkahwin dan mempunyai anak terpaksa menumpang rumah ibu bapa bersama adik beradik yang lain.

“Saya faham bukan tidak ada generasi baharu kembali ke Felda untuk membantu ibu bapa.

“Namun, pulangnya mereka ini bukan seorang diri, ada ahli keluarga yang turut mengikuti dan sangat memerlukan tempat berteduh yang selesa.

“Hendak duduk di rumah orang tua, setelah beranak pinak, tidaklah berapa sesuai situasinya ditambah pula dengan adik-beradik lain juga ramai,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Lot Kediaman Harapan Generasi Baharu Felda Palong Fasa 1 di Felda Palong 12.

Aminuddin berkata, justeru Kerajaan Negeri mengambil tanggungjawab ini dengan meminta Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah untuk mengenal pasti tanah kosong kerajaan yang tertakluk di dalam Seksyen 6 Akta Tanah (Petempatan Berkelompok) 1965 iaitu tanah yang berbaki daripada pembangunan tanah oleh Felda setelah ditolak 10 peratus keluasan yang dimiliki oleh Felda selaku agensi pemajuan tanah.

“Pendekatan ini dilaksanakan supaya tanah yang berpotensi ini dapat dimanfaatkan dan dijadikan penempatan Generasi Kedua dan Ketiga Felda.

“Felda Palong 12 amat bertuah kerana terpilih menjadi lokasi rintis bagi Daerah Jempol,” kata beliau.

Turut hadir, Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Ismail Ahmad; Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong; Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abdul Ghani; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Dato’ Bakri Sawir dan Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon.

Penyelaras DUN Palong, Tuan Rebin Birham; Penyelaras DUN Serting, Tuan Abdul Rahman Ramli; Penyelaras DUN Jeram Padang, Tuan Musliadi Sabtu; Penyelaras DUN Sungai, Tuan Saiful Jaaman dan Penyelaras DUN Pertang, Tuan Zainal Fikri Abdul Kadir.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button