Istiqamah lebih baik daripada seribu karamah
Istiqamah sering kali digunakan untuk merujuk kepada perbuatan melaksanakan amalan secara konsisten dan berterusan tanpa henti.
Dalam kitab Madarij as-Salikin, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menukilkan kata-kata Sayidina Umar bin al-Khattab radiallahuanhu yang bermaksud, “Istiqamah bererti tetap melakukan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya tanpa sebarang helah.
“Seterusnya, beliau merumuskan pengertian istiqamah sebagai prinsip utama yang meliputi keseluruhan ajaran Islam, dibina atas kejujuran dalam hubungan dengan Allah serta kesungguhan dalam menunaikan janji kepada-Nya.
Karamah pula merujuk kepada kejadian luar biasa yang dikurniakan oleh Allah ‘Azzawajalla kepada para wali-Nya.
Tidak seperti mukjizat yang diberikan kepada para nabi untuk mencabar atau membuktikan kebenaran, karamah ialah anugerah yang diberikan sebagai tanda sokongan, bantuan dan kemuliaan bagi para wali.
Istiqamah mudah disebut tetapi sukar dilaksanakan.
Hal ini demikian kerana istiqamah memerlukan niat yang tulus serta kesungguhan dan kejujuran yang berterusan.
Istiqamah bukanlah sesuatu yang dilakukan mengikut musim atau hanya dalam keadaan, masa atau tempat yang tertentu.
Sebagai contoh, ada orang yang tekun beramal sepanjang bulan Ramadhan, namun ketekunannya berkurang setelah Ramadhan berlalu.
Begitu juga, ada orang yang sering berdoa, berzikir atau mengamalkan amalan tertentu dengan harapan mendapat ganjaran tertentu.
Namun apabila dia merasakan bahawa doanya lambat dimakbulkan, zikirnya tidak memberikan kesan atau amalannya tidak menghasilkan sesuatu yang diinginkan, dia mula malas dan akhirnya meninggalkan amalan tersebut.
Dia tidak istiqamah kerana niat asalnya tidak betul. Contoh lain, ada yang bersolat sunat dhuha dengan niat agar rezekinya dilapangkan.
Namun apabila hasil yang diinginkan tidak muncul, dia berhenti melakukannya.
Sebenarnya yang perlu dibetulkan ialah niatnya. Memang solat sunat dhuha mempunyai kelebihannya tersendiri, tetapi ramai terlupa bahawa rezeki bukan sekadar dalam bentuk wang atau harta.
Keupayaan untuk terus istiqamah dalam beramal adalah satu bentuk rezeki yang sangat bernilai. Sebenarnya istiqamah memerlukan niat yang murni serta kejujuran dan kesungguhan dalam setiap amalan.
Kita kena faham, mungkin doa kita belum diqabulkan kerana syarat dan adab berdoa yang belum dipenuhi.
Begitu juga zikir dan amalan yang lain mungkin kurang berkesan kerana syarat dan adab berzikir tidak dipelihara dengan baik. Para wali Allah dianugerahi karamah kerana istiqamah mereka dalam beramal.
Karamah tanpa istiqamah bukanlah karamah sejati malah boleh berubah menjadi “ihanah” atau kehinaan. Para wali tidak beramal dengan tujuan meraih karamah, tetapi melakukannya dengan ikhlas semata-mata kerana Allah berpegang teguh pada sunnah.
Ramai yang menyangka karamah hanya terzahir dalam perkara luar biasa yang nampak nyata, sedangkan karamah batin juga wujud. Keupayaan untuk istiqamah ialah salah satu karamah tertinggi kerana tidak ramai yang mampu mempertahankan ketekunan dalam amalannya.
SUMBER: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)