Isu rumah ibadat tanpa pendaftaran, tindakan berhemah perlu dilaksanakan

SEREMBAN: Sebanyak RM5.6 juta diperuntukkan bagi pembinaan Masjid Ulu Beranang yang berjaya disiapkan sepenuhnya pada 6 Februari lalu sekali gus menyediakan sebuah masjid baharu yang lebih selesa untuk kegunaan penduduk setempat.
Masjid yang dibina di atas tapak seluas 1.829 ekar itu mampu menampung sehingga 500 orang jemaah dan direka bentuk bagi memenuhi keperluan ibadah serta keselesaan jemaah.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata masjid bukan sekadar rumah ibadah malah merupakan lambang syiar Islam yang wajib dipelihara dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
“Masjid juga adalah lambang syiar Islam yang perlu dipelihara dengan berhemah dan berlandaskan undang-undang agar kesucian agama Islam terus terjamin serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama dapat dikekalkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Masjid Ulu Beranang, di sini, hari ini.
Beliau memandang serius isu kewujudan rumah-rumah ibadat Islam yang dibina atau beroperasi tanpa pendaftaran dan kebenaran yang sewajarnya.
“Isu ini perlu ditangani secara berhemah dan berlandaskan undang-undang agar kesucian agama Islam terus terpelihara, pentadbiran agama dapat dilaksanakan dengan teratur dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini sentiasa terjamin” katanya lagi.
Masjid ini dilengkapi dengan ruang solat utama, ruang solat wanita yang lebih selesa, bilik imam, sistem audio pembesar suara, bilik pengurusan jenazah serta sebuah menara atau minaret setinggi 24 meter sekali gus melengkapkan kemudahan masjid untuk kegunaan penduduk setempat.
Menurut beliau, selain aspek fizikal dan tadbir urus, pengurusan masjid juga perlu memberi penekanan kepada pengisian rohani.
“Masjid tidak wajar dibiarkan sunyi daripada majlis ilmu, pengajian al-Quran dan hadis, wacana pemikiran Islam serta perbincangan isu semasa yang membentuk kefahaman umat secara sederhana dan seimbang,” katanya.
Tambah beliau, masjid perlu diimarahkan dengan program yang bukan sahaja memperkukuh ibadah malah membina daya fikir, memperhalus akhlak dan memperkukuh jati diri umat Islam, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Pengisian yang berteraskan ilmu, hikmah dan kesederhanaan akan memastikan masjid terus relevan sebagai pusat rujukan masyarakat serta mengangkat martabat Islam sebagai agama yang membawa rahmat, kedamaian dan kemajuan,” katanya lagi.
Projek pembinaan Masjid Ulu Beranang ini dilaksanakan secara fizikal bermula 23 April 2024 oleh Bahau Gemilang Construction selaku kontraktor utama dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Pembangunan Negeri (ICU JPM) Negeri Sembilan.
Projek berkenaan turut merangkumi pembinaan infrastruktur sokongan seperti TNB compact sub, tempat letak kenderaan, sistem perparitan, pagar keselamatan serta kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan kebajikan dan keselamatan semua jemaah terpelihara.



