BeritaProgram

JHEAINS bantu 100 usahawan kecil memiliki sijil halal

EKSKLUSIF: Kerajaan Negeri telah memberi peruntukan RM500,000 kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk membantu usahawan bagi mendapatkan sijil halal.

Pengarah JHEAINS, Dato’ Mohd Zaidi Ramli berkata, JHEAINS akan mencari serta membantu 100 usahawan kecil luar bandar khususnya bagi membantu mereka untuk memiliki sijil halal.

“Peruntukan yang diberikan Kerajaan Negeri akan digunakan bagi membantu usahawan ini.

“Sebagai contoh, sekiranya mesin yang digunakan tidak memenuhi piawaian, kami akan membelikan mesin yang baru untuk mereka supaya memenuhi syarat yang kami tetapkan.

“Hal ini kerana memiliki sijil halal boleh membantu usahawan ini untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka,” kata Mohd Zaidi.

Mohd Zaidi turut berkongsi kisah di mana seorang usahawan kecil dapat mengembangkan perniagaannya selepas memiliki sijil halal.

“Pada awalnya usahawan ini hanyalah menjual air tebu secara kecil-kecilan di rumah.

“Namun selepas memiliki sijil halal, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membeli 80 ribu botol air tebu daripada beliau setiap bulan.

“Ini menunjukkan dengan memiliki sijil halal ianya memberikan impak dan nilai tambah kepada setiap peniaga atau usahawan,” ujar beliau.

Mohd Zaidi berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan Negeri Kita berhubung pembaharuan yang dilakukan oleh JHEAINS dalam tempoh empat tahun di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button