BeritaProgram

Dakwah ‘Door to Door’ jauh lebih berkesan: MOHD ZAIDI

EKSKLUSIF: Dakwah secara ‘Door to Door’ jauh lebih berkesan berbanding penganjuran program di tempat yang sama saban tahun.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Dato’ Mohd Zaidi Ramli berkata, pendekatan baru yang diambil ini jauh lebih berkesan kerana dapat berjumpa dengan lebih ramai orang dari latar belakang yang pelbagai.

“Sebelum ini jabatan agama hanya membuat program di tempat yang sama, contohnya di dewan dan lazimnya mereka yang hadir adalah orang yang sama.

“Oleh itu, cara berdakwah secara kumpulan telah ditukar kepada cara dari rumah ke rumah.

“Sebagai contoh, jika bulan ini programnya adalah untuk pesara tentera, maka pihak saya akan pergi ke rumah pesara tentera yang ada di Negeri Sembilan,” kata Mohd Zaidi.

Mohd Zaidi berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan Negeri Kita berhubung pembaharuan yang dilakukan oleh JHEAINS dalam tempoh empat tahun di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Menurut Mohd Zaidi lagi, peruntukan sebelum ini banyak dihabiskan untuk katering, sistem siaraya (PA) dan khemah.

“Kini dalam sistem dakwah ‘door to door’, bukan sahaja ada penjimatan dalam kos penganjuran program, malah individu atau keluarga yang menerima kunjungan jabatan agama akan mendapat buah tangan mengikut keperluan masing-masing.

“Contohnya dalam keluarga tersebut ada individu yang lumpuh, kami akan menghulurkan sumbangan lampin pakai buang.

“Begitu juga sekiranya keluarga yang diziarahi memerlukan bantuan barangan keperluan dapur.

“Walaubagaimanapun, kebanyakkan orang menganggap bahawa jabatan agama melakukan kerja amal sebaliknya bukan. Ianya adalah adab sebagai menziariahi rumah orang,” jelas Mohd Zaidi.

Mohd Zaidi juga berkongsi sebuah kisah apabila beliau melawat seorang penggali kubur.

“Kami pernah mengadakan lawatan menziarahi seorang penggali kubur.

“Beliau menangis kerana terharu dengan kunjungan kami. Ini ialah kerana sudah 40 tahun menjadi penggali kubur, jabatan agama tidak pernah menziarahi beliau,” tambah Mohd Zaidi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button