Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
BeritaProgram

Kerajaan Negeri peka selesai isu rakyat

Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun telah berjaya menyelesaikan tujuh isu rakyat yang berpanjangan tanpa sebarang penyelesaian di bawah Kerajaan Negeri terdahulu.

Tujuh isu rakyat yang berpanjangan diselesaikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan ialah:

1. GATCO, JEMPOL

Kemelut peneroka GATCO yang berlanjutan selama 40 tahun berjaya diselesaikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sejak mengambil tampuk kepimpinan pada 9 Mei 2018.

Seramai 211 peneroka GATCO telah menerima hak milik tanah seluas empat ekar dan dua ekar mengikut kelayakan masing-masing dari Kerajaan Negeri Sembilan kini.

Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif berikut untuk kepentingan dan kebajikan peneroka Gatco:

i. Pengecualian bayaran cukai tanah yang tertangguh sekian lama.

ii. Mengecualikan bayaran premium tanah.

iii. Tempoh masa pajakan dilanjutkan sehingga 99 tahun.

iv. Penanaman semula melalui Risda.

2. PERPADUAN HEIGHT, KUALA PILAH

Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan berjaya menyelesaikan permasalahan projek perumahan Taman Perpaduan Heights, Kuala Pilah berkeluasan 32.84 ekar yang terbengkalai dan membelenggu 206 pembeli rumah sejak tahun 2006.

Kerajaan Negeri memberikan sebidang tanah kepada setiap pembeli dengan ukuran 3,000 hingga 5,000 kaki persegi di Juasseh mengikut jenis rumah yang dibeli.

Kerajaan Negeri juga akan menyediakan kemudahan asas seperti jalan, longkang dan paip air dengan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM5.5 juta, manakala para pembeli bertanggungjawab membangunkan lot sendiri sama ada melalui Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) atau kaedah lain.

3. FELCRA ROMPIN, JEMPOL

Seramai 159 penduduk Felcra Rompin terima hak milik tanah di rancangan tanah pinggir di Felcra Rompin A, Mukim Rompin sejak 40 tahun yang lalu.

Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu menyelesaikan isu-isu hak milik peneroka di Negeri Sembilan.

Isu yang berlarutan sejak tahun 1979 ini akhirnya selesai dengan pemberian geran hak milik kepada peserta.

Setiap penerima hakmilik menerima geran tanah seluas lebih kurang 6 ekar. Secara keseluruhannya FELCRA Rompin berkeluasan 1,199 ekar dengan tanaman getah dan sawit.

4. KAMPUNG ORANG ASLI PELEBAR, LABU

Pampasan isu pengambilan tanah Orang Asli Suku Temuan, Kampung Pelebar Labu selesai setelah 18 tahun.

Kemelut ini bermula sejak tahun 2004 yang lalu apabila tanah mereka diambil oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi tujuan pembangunan.

Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah berjumpa dengan wakil 11 keluarga yang terlibat serta pihak Matrix Concept selaku pemaju tanah yang diambil.

Hasil perbincangan, pihak pemaju bersetuju membayar saguhati ex-gratia berjumlah RM840,000 kepada semua keluarga yang terlibat.

Justeru, kemelut yang melanda 11 keluarga ini sejak tahun 2004 akhirnya menemui jalan penyelesaian.

5. LADANG KIRBY, LABU

Seramai 44 bekas pekerja estet Ladang Kirby bakal menerima rumah sendiri melalui Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik di Ladang Kirby.

Kerajaan Negeri bersetuju menawarkan pemilikan rumah jenis Type A yang bernilai RM80,000 kepada bekas pekerja estet yang layak.

Awalnya jualan secara bersubsidi ditawarkan kepada mereka adalah sebanyak RM45,000.

Namun, setelah mengambil kira kemampuan setiap bekas pekerja estet tersebut, Kerajaan Negeri bersetuju menurunkan lagi harga jualan seunit rumah menjadi RM36,000 kepada 36 orang bekas pekerja estet yang layak.

Dalam masa sama, subsidi tambahan sewaan rumah sebanyak RM500 sebulan bagi tempoh 24 bulan atau sehingga projek Rumah Mampu Milik tersebut siap kepada 13 keluarga bekas pekerja estet.

Oleh itu, jumlah subsisi yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada bekas pekerja estet tersebut berjumlah RM1.74 juta.

Penyelesaian masalah ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang peka akan kebajikan rakyat di negeri ini.

6. KAMPUNG BAKAR ARANG, CHUAH, PORT DICKSON

Seramai lapan penduduk Kampung Bakar Arang, Chuah yang telah menduduki tanah ini sejak tahun 1970an menerima hak milik tanah (Borang 5A).

Pemberimilikan ini melibatkan tanah lot berkeluasan 250 hingga 750 meter persegi bagi setiap pemohon.

7. TAPAK PERKAMPUNGAN BUDAYA, TERACHI, KUALA PILAH

Perkampungan budaya ini telah lama wujud. Walaubagaimanapun, fasiliti tersebut telah dibiarkan begitu sahaja.

Melihat kepada potensi besar kawasan tersebut sebagai tarikan pelancongan, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah mengambil langkah membaikpulih dan menaiktaraf lokasi tersebut.

Tapak ini turut menjadi lokasi Pesta Bola Ngoca anjuran Kerajaan Negeri.

Pesta yang cukup meriah ini berjaya menarik begitu ramai pelancong datang ke Kuala Pilah.

Pelbagai acara menarik seperti pertandingan bolasepak sawah, panjat tiang licin, mengoca dan pertandingan tangkap itik diadakan di sini.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button