Berita

Jika sesiapa ternampak ‘Bendera Putih’ dinaikkan, hubungi saya segera,” Arul Kumar

Mereka bukan buat main-main dan saya percaya mereka memang dalam keadaan yang sangat susah

NILAI: ADUN Nilai, YB J.Arul Kumar meminta orang ramai, sekiranya ternampak ‘Bendera Putih’ dinaikkan di kawasan Nilai, Mantin, Pajam dan Batang Benar (DUN Nilai), mereka diminta memaklumkan kepada kepada beliau dalam kadar segera.

“Sejak kelmarin, ‘bendera putih’ dinaikkan di beberapa tempat di DUN Nilai sebagai tanda untuk meminta bantuan terutamanya bantuan makanan.

“Ini adalah suatu keadaan yang amat menyedihkan apabila ada di antara kita sedang ‘berjuang’ demi sesuap nasi.

“Saya tidak mahu ada di kalangan kita yang hidup dalam kelaparan.

“Jika ‘Bendera Putih’ dinaikkan di hadapan rumah mereka, mereka bukan buat main-main dan saya percaya mereka memang dalam keadaan yang sangat susah,” ujar Arul Kumar.

Arul Kumar berkata beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp di talian 016-619 6113.

Sementara itu, Arul Kumar tidak berlengah untuk membantu selepas menerima maklumat, terdapat 11 keluarga yang telah menaikkan ‘Bendera Putih’ di Nilai, Mantin dan Pajam.

“Pada petang yang sama, saya bersama pasukan saya telah menghantar barangan keperluan asas kepada 11 keluarga tersebut.

“Ada di antara mereka yang telah hilang pekerjaan sejak beberapa bulan lalu dan tiada sebarang sumber pendapatan.

“Ada juga yang menyatakan mereka hanya memerlukan pekerjaan sahaja untuk menanggung sara hidup keluarga mereka.

“Saya akan cuba mendapatkan pekerjaan untuk mereka, supaya mereka boleh hidup dengan berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain,” jelas Arul Kumar.

 

Show More

Related Articles

Back to top button