Jualan Keluarga Malaysia tawar harga lebih rendah dari pasaran
REPAH: Exco Alam Sekitar, Kesihatan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam telah melawat Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Taman Permainan Gunung Mas, Tampin.
Veerapan berkata, program ini melibatkan jualan barangan keperluan seperti ayam segar, ikan, makanan proses, kek, aiskrim, buah-buahan, bawang merah, bawang putih, ubi kentang dan minyak masak.
“Konsep Jualan Keluarga Malaysia menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan asas seperti gula, tepung, beras, minyak masak, makanan yang telah diproses, sayur-sayuran, telur ayam dan lain-lain dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran setempat,” kata beliau.
Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah berkata, program berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah rakyat, selain menjadi pemangkin kepada pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan bijak.
“Saya ingin mengingatkan rakyat supaya sentiasa mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak sebagai pengguna manakala peniaga pula harus mengamalkan sikap beretika dalam menjalankan perniagaan,” ujarnya lagi.