Berita

Kayu Cerita dan Jiwa: Inovasi Hijau Pelajar TVET Jana RM3,000

SEREMBAN: Mengubah sisa kayu terbuang menjadi sumber rezeki membuktikan bahawa bidang TVET bukan sekadar laluan kedua tetapi landasan kukuh untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan inovatif.

Anak jati Kampung Triang, Kuala Klawang, Muhammad Luqman Arif bin Hissham, 19 tahun, yang kini mengikuti pengajian Sijil Teknologi Pembangunan di Kolej Komuniti Jelebu, berjaya menghasilkan produk berasaskan seni kayu bertemakan Kayu Cerita dan Jiwa.

Melalui inovasi hijau itu, beliau memanfaatkan sisa kayu terbuang bagi menghasilkan produk bernilai komersial yang bukan sahaja menyokong kelestarian alam sekitar malah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM3,000 dalam tempoh dua bulan.

Produk tersebut kini dipasarkan di bawah syarikat miliknya AR Kayu Empire yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Di bawah bimbingan pensyarahnya Puan Aini Nur Rashidah, Luqman menjelaskan bahawa projek itu menjadi platform kepada pelajar TVET untuk mengasah kemahiran keusahawanan serta memperkenalkan produk tempatan ke pasaran lebih luas. Usaha gigih dan bimbingan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila inovasi tersebut mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antara pencapaian yang diraih termasuk tempat kedua dalam kategori Showcase, tempat pertama Video Pemasaran Terbaik serta juara kategori pelajar DVM dan IPT dalam National Virtual Innovation Creative Competition. Selain itu, beliau turut merangkul pingat perak dalam Projek Alam Bina 2025, pingat emas dalam Seminar Penyelidikan Inovasi 2025 dan tempat pertama dalam Karnival Keusahawanan Kolej Komuniti Jelebu 2025.

Menurut Luqman, bidang TVET bukan hanya tertumpu kepada teori sebaliknya memberi peluang kepada pelajar untuk menonjolkan kemahiran sebenar. Katanya, TVET menjadi asas penting kepada anak muda untuk melangkah jauh dalam dunia kerjaya sama ada sebagai tenaga mahir mahupun usahawan.

Beliau turut menasihatkan anak muda agar tidak memandang rendah terhadap bidang TVET kerana ia mampu menjadi batu loncatan ke arah kejayaan. Tambahnya, proses membuka perniagaan kini juga lebih mudah melalui pendaftaran dengan CIDB dan SSM.

Kejayaan Muhammad Luqman Arif menjadi bukti bahawa TVET merupakan wadah penting dalam membentuk generasi muda yang kreatif, berdaya tahan dan bersedia menerajui masa depan industri negara.

Show More

Related Articles

Back to top button