Berita

KeADILan Seremban santuni pejuang reformasi KeADILan

SEREMBAN: “Tiada yang lama tiada yang baru, iltizam kasih sayang tidak pernah melupai pejuang-pejuang Reformasi KeADILan Seremban,” itulah kata-kata ungkapan Ketua Cabang KeADILan Seremban, YB Senator Dr Ahmad Azam Hamzah selepas menyantuni pejuang reformasi KeADILan Cabang Seremban.

Ahmad Azam berkata, Program Ziarah Kasih KeADILan Cabang Seremban kelmarin telah menyantuni rakan-rakan seperjuangan yang memerlukan perhatian.

“Kita sumbang sebuah kerusi roda kepada Saudara Rajgaffur Assanar di Taman College Heights, yang salah satu kakinya telah dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis.

“Seterusnya kami ke Bandar Warisan Puteri Sikamat, menziarahi Saudara Hairul Anuar yang kini terlantar di katil akibat strok.

“Turut diziarahi Pak Alias yang sakit buah pinggang dan Pak Din yang sakit kencing manis di Taman Tuanku Jaafar,” kata Ahmad Azam.

Rombongan KeADILan Cabang Seremban seterusnya menziarahi balu kepada Allahyarham Jamaluddin Che Rose di Taman Tuanku Jaafar.

“Walaupun ada sahabat yang telah tiada, kita tidak melupai keluarga pejuang reformasi.

“Seterusnya kami menziarahi Bekas Ketua Wanita KeADILan Seremban, Cikgu Zaharah yang kini uzur.

“Genangan air mata mereka dapat dilihat, yang gembira dengan kunjungan kasih sahabat-sahabat seperjuangan,” ujar Ahmad Azam.

Ahmad Azam berkata, pejuang-pejuang reformasi ini masih lagi bersemangat dan memberi idea-idea serta semangat agar anak-anak muda sentiasa bangkit dengan iltizam keadilan untuk semua rakyat Malaysia.

Laungan Reformasi bergema di rumah pejuang ini serta bacaan doa.

“Kata-kata semangat diluahkan oleh mereka agar KeADILan Seremban dan Pakatan Harapan Negeri Sembilan terus berjuang mempertahankan Kerajaan Negeri Sembilan dan memastikan merampas semula Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Turut hadir, Setiausaha Cabang KeADILan Seremban,  Puan Salwah Abu Hassan.

Show More

Related Articles

Back to top button