BeritaKolumnis

Kenyataan Ketua Penerangan Bersatu NS cukup sembrono tanpa fakta yang jelas

1. Semalam Ketua Penerangan Bersatu dalam satu wawancara yang dianjurkan Awani telah mendakwa beberapa perkara yang tidak tepat dan kurang jujur mengenai keadaan di Negeri Sembilan khususnya selepas lima tahun pentadbiran Pakatan Harapan.

2. Antara dakwaan beliau ialah kononnya pembangunan Negeri Sembilan tidak seimbang, tiada limpahan ekonomi dari Lembah Klang, hanya menjadi kawasan perumahan dan mempersenda pendapatan Kerajaan Negeri hanya sekitar RM500 juta, malah turut menuduh anak Negeri Sembilan hadapi masalah terpaksa belajar keluar dari negeri ini.

3. Kenyataan Ketua Penerangan ini amatlah dangkal dan sembrono seolah dirinya diselubungi kegelapan. Beliau harus lebih banyak menelaah perkembangan yang berlaku khususnya di Negeri Sembilan sebelum mengeluarkan kenyataan kerana tindakan seperti ini akan memperlihatkan lemahnya pengetahuan diri.

4. Pembangunan di NS cukup seimbang di mana kemajuan itu selari dengan perkembangan sosial, pendidikan modal insan dan agama. NS turut Diiktiraf Negeri Bahagian pada tahun 2021, menunjukkan pembangunan negeri ini cukup seimbang dan disenangi oleh rakyat Negeri Sembilan.

5. Negeri Sembilan khususnya di Seremban, Nilai, Pajam, Enstek, Sendayan, Senawang, Sikamat dan pelbagai kawasan lagi telah menjadi residensi pilihan oleh warga Lembah Klang. Ini fakta yang cukup membanggakan kerana secara tidak langsung ekonomi negeri terus berkembang pesat. Inilah bukti limpahan ekonomi apabila lebih banyak bandar baharu muncul di Negeri Sembilan dengan cukup terancang.

6. Jumlah RM500 juta pendapatan atau nilai sebenarnya RM556 juta tidak wajar dipersenda kerana ianya adalah hasil usaha negeri tanpa aktiviti pembalakkan atau perlombongan petroleum, malah belanjawan pada tahun tersebut surplus RM147 juta atau hasil negeri 26% lebih tinggi dari dari perbelanjaan.

7. Jika dibanding dengan negeri Terengganu, hasil kutipan cukai cuma RM65 juta dan RM135 juta hasil kutipan bukan cukai. Selebihnya adalah RM1.609 bilion daripada terimaan bukan hasil iaitu dana khas kerajaan Persekutuan melalui bayaran hasil petroleum. Ini tiada di Negeri Sembilan, tetapi negeri jauh lebih maju di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri dan MB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun.

8. Mengatakan anak Negeri terpaksa keluar untuk belajar adalah satu tuduhan jahat. Negeri Sembilan merupakan negeri yang kaya pusat ilmu dengan pelbagai institusi pengajian di seluruh negeri. Sekolah di Negeri Sembilan juga amat cemerlang apabila merekodkan kedudukan SPM tertinggi (selepas Putrajaya) selama 7 tahun berturut-turut sejak tahun 2015.

9. Apakah Ketua Penerangan Bersatu tidak cukup terang dengan fakta ini? Mungkin kerana kurangnya pengetahuan tentang Negeri Sembilan maka beliau yang menjadi calon Parlimen Jempol telah tewas teruk pada PRU15 lalu dengan hanya memperolehi hanya 16 ribu undi dari 72 ribu pengundi, manakala calon PH dan BN memperolehi 54 ribu undi.

10. Keputusan undian PRU15 juga jelas menunjukkan Perikatan Nasional ditolak di Negeri Sembilan apabila gagal memenangi sebarang kerusi. Tidak ada apa yang menjadi kebanggaan dan tiada testimoni baik yang boleh dibentang dari negeri PN, namun ada pula yang tergamak mempersenda Negeri Sembilan, umpama ayam yang berkokok tanpa sedar ekornya bergelumang tahi. InshaAllah PH dan BN kekal 5 tahun, Perpaduan Demi Kemajuan.

EDY NOOR REDUAN
Setiausaha Penerangan KeADILan Negeri Sembilan

05 Julai 2023

Show More

Related Articles

Back to top button