Kepakaran jurutera dapat memacu negara ke arah Revolusi Industri 4.0
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kepakaran jurutera amat penting bagi memastikan negara dapat bergerak seiring negara lain dalam memacu Revolusi Industri 4.0.
“Young Engineer Section atau YES Negeri Sembilan yang ditubuhkan oleh Institution of Engineers Malaysia Negeri Sembilan (IEMNS) dapat membantu belia menjalin hubungan yang erat dengan jurutera profesional yang berpengalaman.
“Hal ini kerana, ahlinya terdiri daripada jurutera siswazah dan pelajar.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, jurutera adalah sumber tenaga manusia yang mustahak yang mana kepakaran teknikal, ilmu sains and kejuruteraan boleh diaplikasikan untuk menyelesai masalah, mencipta sistem atau peralatan yang boleh membaiki kehidupan manusia dan membangunkan negara.
“Kepakaran sedemikian amat diperlukan sekarang khususnya untuk membantu memulihkan ekonomi setelah terbantut selama hampir dua tahun akibat daripada Perintah Pergerakkan Kawalan (PKP) yang bertujuan untuk memutuskan rantaian Covid 19,” kata Aminuddin di Majlis Penghargaan dan Makan Malam The Institution of Engineers Malaysia Negeri Sembilan.
Aminuddin menambah agar, IEMNS kerap menganjurkan pelbagai program seperti ceramah dan lawatan teknikal bagi menambahbaik pengetahuan jurutera dan ahlinya.
“Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan lagi kemahiran ahli dan dapat menyumbang kepada pembangunan khususnya di Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin.
Turut hadir, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong.