Berita

Keputusan muktamad PH tidak kerjasama dengan PN: RAFIZI

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden KeADILan, Saudara Rafizi Ramli berkata, keputusan tersebut itu dicapai dalam mesyuarat PH pada Rabu lepas.

“Dalam mesyuarat PH kita dah buat keputusan rasmi noktah untuk tidak bekerjasama dengan PN. Noktah maksudnya muktamad.

“Kita akan terus berkempen dan masuk pilihan raya sebagai PH.

“Kita sedia maklum sentimen rakyat bukan soal siapa berkuasa, rakyat nak satu pembawaan yang benar-benar berjuang untuk mereka,” ujar beliau.

PH mahu cerdikkan rakyat, perbaiki keadaan ambil masa

Dalam pada itu, Rafizi berkata sekiranya alasan bekerjasama itu untuk menumbangkan BN, kerajaan tidak akan stabil.

“Kami dah kena dulu, malah rakyat juga sudah tahu bahawa kalau niat itu tidak betul, hanya menggunakan alasan untuk menumbangkan BN tetapi jika dasar dan jiwa itu tidak kena serta tidak serasi dengan masing-masing, maka kerajaan itu tidak akan stabil.

“Kami daripada dulu jadi pembangkang, jadi tidak jadi isu untuk kita dan macam saya sebut tadi misi kami berbeza.

“Kami hendak mencerdikkan rakyat, fungsi untuk memperbaiki keadaan itu ambil masa dari satu peringkat ke satu peringkat,” jelas beliau.

Rafizi berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah Jelayah Trak Ayuh Malaysia di Perkarangan Stadium Paroi malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden PKR, Dato’ Seri Aminuddin Harun merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button