Berita

Kerajaan galak peralihan sistem reban terbuka kepada reban tertutup

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan peralihan daripada sistem reban terbuka kepada reban tertutup bertujuan meningkatkan biosekuriti, produktiviti dan kemampanan industri penternakan, khususnya melibatkan penternak kecil dan sederhana.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Dato’ Seri Mohamad Sabu berkata, antara langkah yang diambil ialah menggalakkan penggunaan automasi ladang bagi sistem makanan, air minuman dan pembersihan ternakan untuk mengurangkan kos operasi, kadar kematian ternakan serta kebergantungan kepada pekerja asing.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar pula menyediakan latihan, khidmat nasihat teknikal, audit biosekuriti serta analisis kos-manfaat bagi membantu penternak membuat keputusan yang lebih berinformasi.

Kerajaan turut menawarkan kemudahan pembiayaan dan geran pemadanan melalui Agrobank serta institusi kewangan tempatan bagi pembinaan atau naik taraf reban tertutup.

“Sehingga Disember 2025, sebanyak RM62.7 juta pembiayaan telah diluluskan bagi subsektor ternakan, namun tiada subsidi langsung disediakan untuk penukaran sistem ini.

“Bagi Sabah, penukaran kepada reban tertutup tidak diwajibkan dan dilaksanakan secara sukarela, manakala di Sarawak, penternak masih dibenarkan menggunakan sistem reban terbuka selagi mematuhi Ordinan Kesihatan Awam Veterinar Sarawak 1999.

“Sebagai galakan tambahan, kerajaan melalui Belanjawan 2026 meluluskan Galakan Cukai Automasi Sektor Pertanian termasuk Elaun Modal Dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan sehingga 100 peratus bagi perbelanjaan automasi yang layak dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027,” jelas Mohamad.

Mohamad berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu @ Aman Begri di Dewan Rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button