
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 di Putrajaya bagi memberi isyarat kepada rakyat terhadap fokus dan usaha yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI sepanjang tahun 2026 yang mencabar.
Terdapat 13 inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI menerusi perutusan tersebut untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2026.
Kesemua inisiatif tersebut diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI dengan membawa tiga tema utama iaitu reformasi institusi, kebajikan rakyat dan ekonomi mampan.
Namun fokus utama yang ditekankan dalam perutusan tersebut adalah ke arah usaha reformasi institusi bagi memastikan Malaysia dapat memperbaiki sistem pentadbiran sejajar dengan perubahan zaman.
Kerajaan MADANI sedar bahawa segala usaha untuk memperbaiki kehidupan rakyat perlu bermula dengan menjalankan agenda reformasi institusi, ia seterusnya akan membawa kepada urus tadbir yang baik dan ekonomi yang mampan.
Ekonomi Malaysia yang mampan dan berkembang pesat dapat diterjemahkan kepada inisiatif-inisiatif yang memperbaiki kehidupan rakyat, tidak mustahil apabila agenda reformasi institusi dijalankan dengan sebaiknya, kita dapat lihat pendidikan percuma atau harga petrol yang murah dapat direalisasikan di Malaysia pada suatu hari nanti.
Reformasi institusi menjadi fokus utama oleh Kerajaan MADANI menjelang tahun 2026 kerana pada masa kini Malaysia sedang menghadapi masalah sistemik dalam pentadbiran dalam skala yang parah.
Masalah sistemik dalam pentadbiran Malaysia bukan sahaja berada di peringkat persekutuan, ia telah menjadi masalah yang berakar sehingga ke peringkat pentadbiran paling rendah (Pihak Berkuasa Tempatan).
Masalah sistemik ini juga menyaksikan Malaysia kerugian dana setiap tahun akibat rasuah/salah guna kuasa dan kehilangan pelabur untuk pembangunan negara, hasil yang hilang ini memberi impak kepada kesejahteraan rakyat apabila keperluan awam seperti hospital dan sekolah baru tidak mampu dibina.
Justeru tahun 2026 adalah tahun paling tepat untuk melaksanakan agenda reformasi institusi, melambatkan perlaksanaan agenda tersebut akan memberi impak yang lebih parah terhadap keupayaan fiskal negara pada masa hadapan.
Malaysia perlu mengambil contoh daripada kegagalan beberapa negara untuk melaksanakan agenda reformasi sehingga menyebabkan mereka menjadi negara gagal (failed state).
Satu contoh yang boleh dirujuk adalah Sri Lanka, masalah sistemik di negara tersebut dapat dikesan sekian lama melalui dasar ekonomi populis dan kebergantungan hutang luar yang tinggi.
Tiada sebarang usaha reformasi dilaksanakan oleh kerajaan Sri Lanka bagi menukar dasar yang mampan dan mengurangkan kebergantungan hutang luar, akibatnya pada tahun 2022 Sri Lanka berhadapan dengan krisis hutang dan kehabisan rizab asing.
Malaysia juga boleh mengambil pengajaran daripada Greece, negara tersebut juga menyedari masalah sistemik telah menjerut ekonomi mereka melalui perbelanjaan kerajaan yang berlebihan dan pengelakan cukai di luar kemampuan.
Namun tiada sebarang usaha reformasi institusi dilaksanakan bagi memperbaiki masalah sistemik tersebut, maka akibatnya Greece berhadapan dengan kebankrapan apabila negara tidak mampu lagi menanggung beban belanjawan yang membawa kepada peningkatan pengangguran yang tidak terkawal dan pemotongan gaji/pencen penjawat awam yang parah.

Hakikatnya masalah sistemik di Malaysia telah mula disedari semenjak zaman Perdana Menteri keempat lagi (awal 2000-an), namun usaha melaksanakan reformasi institusi secara serius hanya dapat dilakukan pada zaman Perdana Menteri ke-10 (2025).
Bebanan fiskal negara telah mula dirasai semenjak hampir 25 tahun dahulu melalui penampungan subsidi yang besar saban tahun, namun pemerintah tidak menunjukkan sebarang keazaman politik untuk memperbaiki masalah sistemik tersebut.
Masalah sistemik tersebut terus membengkak sehingga pada tahun 2022 di mana kadar hutang negara mencecah sekitar 60.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP), berjumlah kira-kira RM 1.08 trilion.
Usaha memperbaiki masalah sistemik ini mula dilakukan oleh Kerajaan MADANI selepas mengambil pemerintahan dengan melaksakan dasar berjimat dan memastikan ketirisan perbelanjaan ditampung dengan sebaik mungkin.
Dasar berjimat dan mengelak ketirisan yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI berjaya menjimatkan wang negara sebanyak RM15.5 bilion setahun, namun ia masih belum mencukupi bagi mengurangkan kadar hutang negara.
Justeru dalam Perutusan Tahun Baharu 2026, PMX telah mengumumkan tiga dasar baru dalam usaha untuk melonjakkan usaha ke arah reformasi institusi.
Tiga dasar baru tersebut yang bakal dilaksanakan pada tahun 2026 adalah had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Akta Kebebasan Maklumat dan memisahkan kuasa Pendakwa Raya-Peguam Negara.
Perlaksanaan dasar-dasar tersebut secara bersungguh-sungguh bakal menyaksikan masalah sistemik dapat diperbaiki melalui pengukuhan integriti kerajaan.
Integriti kerajaan tidak akan dipersoalkan apabila badan eksekutif diperkasa melalui had perkhidmatan Perdana Menteri diperkenalkan, dasar ini mampu mengelakkan seseorang Perdana Menteri memerintah terlalu lama sehingga membawa kepada risiko penyalahgunaan kuasa (rasuah, kronisme atau nepotisme).
Integriti kerajaan juga tidak akan dipersoalkan apabila badan judisiari diperkasakan melalui pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara, dasar ini mampu memastikan kesalahan melibatkan pegawai tinggi atau ahli politik boleh disiasat dan didakwa tanpa berat sebelah.
Pemerkasaan badan legislatif juga dapat dilaksanakan melalui penggubalan Akta Kebebasan Maklumat bagi memastikan integriti kerajaan lebih dipercayai, dasar ini akan memastikan setiap wakil rakyat mendapat maklumat lengkap untuk membuat semakan dasar dan keputusan secara lebih berinformasi.
Secara kesimpulannya, Perutusan Tahun Baharu 2026 membawa fokus yang tepat apabila cuba menumpukan usaha reformasi institusi untuk dilaksanakan.
Usaha ini tidak akan menunjukkan impak yang signifikan dalam tempoh masa yang singkat, justeru rakyat perlu bersabar dan memberi peluang kepada Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan usaha reformasi institusi untuk beberapa sela masa.
Mandat baru perlu diberikan kepada PMX menjelang PRU-16 bagi memastikan reformasi institusi yang diperkasakan pada tahun 2026 dapat diteruskan sehingga menampakkan hasilnya pada masa hadapan.
Secara faktanya, hanya PMX yang mempunyai tekad politik sepanjang 25 tahun ini untuk melaksakan reformasi institusi, menukar pemerintah bakal merencatkan usaha reformasi institusi yang diperkasakan pada tahun 2026.
Dr. Mohd Fauzi Fadzil
Pensyarah Kanan
Universiti Poly-Tech Malaysia




