Kerajaan Negeri giat atasi isu bekalan air, projek paip dan takungan dipercepat

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melalui agensi berkaitan terus giat melaksanakan pelbagai projek penambahbaikan infrastruktur air bagi memastikan bekalan air bersih dan berterusan dapat dinikmati oleh semua penduduk di seluruh negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, antara tumpuan utama kerajaan ketika ini ialah pelaksanaan program penggantian paip lama dan uzur, khususnya di kawasan FELDA yang sering berdepan masalah paip pecah dan gangguan bekalan air.
Menurut beliau, program penggantian paip di kawasan FELDA sedang dilaksanakan secara berperingkat menerusi peruntukan daripada FELDA serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW/PETRA), susulan isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Jeram Padang, Gemas dan Seri Menanti.
“Bagi Felda Pasir Besar di DUN Gemas, punca utama kejadian paip kerap pecah dikenal pasti berpunca daripada penggunaan paip lama jenis Asbestos Cement (AC) yang telah uzur, justeru kerja-kerja penggantian kepada paip jenis UPVC sepanjang 2,800 meter kini dalam perancangan.
“Sementara itu, di DUN Seri Menanti, beberapa projek penggantian paip menggunakan jenis UPVC dan HDPE telah dirancang dengan pembiayaan daripada peruntukan dalaman Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) serta Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),” ujar Aminuddin.
Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin berkata, projek Rumah Pam Kolam Teluk Kemang yang dibangkitkan ADUN Bagan Pinang kini telah mencapai 84 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2025.
Beliau turut menjelaskan gangguan bekalan air yang berlaku dari Loji Rawatan Air Sungai Linggi adalah berpunca daripada kekeruhan air mentah yang tinggi, khususnya selepas hujan lebat, sekali gus memaksa pemberhentian sementara operasi loji selaras dengan piawaian kualiti air minum yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menjawab isu bekalan air jangka panjang di Daerah Jelebu, Aminuddin memaklumkan satu kajian yang dijalankan pada tahun 2022 mendapati cadangan menaik taraf Empangan Triang tidak disyorkan, sebaliknya kerajaan sedang mempertimbangkan pembinaan sebuah empangan baharu di kawasan Kenaboi sebagai penyelesaian lebih mampan.
Beliau berkata demikian ketika penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, semalam.


