BeritaMenarik

Kerajaan Negeri hanya ada 1,206 ekar untuk diagih kepada peserta asal Gatco

Bahagian 4

Saya bukan memuji pihak Tamarai Holding tetapi mereka atas dasar keperimanusiaan telah menyumbang 1,206 ekar kepada Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada peserta asal Gatco dan pembeli daripada peserta asal.

Mengikut undang-undang, mereka dengan sahnya membida dan berjaya membeli ladang getah tersebut di lelongan awam melalui Perintah Mahkamah. Mereka tidak perlu pun memberikan tanah seluas 1,206 ekar kepada pihak Kerajaan Negeri.

Saya ingin tegaskan di sini bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh mengambil semula tanah yang dibeli oleh pihak ketiga melalui lelongan awam. Kuasa Kerajaan Negeri terikat pada undang-undang sedia ada.

Kerajaan Rakyat ini juga tidak boleh menggunakan kuasa memaksa syarikat yang membida dan membeli di lelongan awam secara sah untuk mendapatkan semula keseluruhan tanah tersebut seperti yang dinyatakan oleh sekumpulan peserta Gatco. Pihak Pembangkang yang ada pada masa sekarang mengatakan bahawa mereka telah usahakan untuk mendapatkan 1,206 ekar tanah daripada Tamarai Holding.

Seterusnya, mereka menyatakan akan memberikan empat ekar dan dua ekar tanah untuk peserta GATCO. Saya tidak menafikan bahawa telah ada usaha untuk berbincang untuk mendapatkan tanah tersebut. Tetapi, usaha tersebut telah gagal dicapai kerana pentadbiran sebelum ini tidak pernah menyerahkan Geran untuk tanah tersebut kepada peneroka. Apa yang mereka buat hanya retorik politik tanpa penyelesaikan ke atas isu ini.

Pada tahun 2015, ada dakwaan bahawa mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, pentadbiran sebelum ini berjaya memikat Syarikat Tamarai memberikan 1,206 ekar dan telah keluarkan geran kepada 170 peserta di Kampung Gatco tersebut dengan pajakan sehingga 2074.

Adakah dakwaan ini benar? Dakwaan ini telah mengelirukan rakyat Negeri Sembilan bahawa mereka telah memberikan Geran kepada 170 orang peserta Gatco.

Jika begitu, di mana GERAN yang dikatakan tersebut? Jika betul Geran itu dikeluarkan, kenapa sekumpulan 170 orang tersebut datang mengadu kepada Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada tahun 2018 melalui suatu memorandum?

Melalui memorandum tersebut peserta Gatco tersebut menyatakan bahawa pentadbiran sebelum ini telah menjanjikan empat ekar dan dua ekar kepada peserta Gatco seramai 170 orang tetapi tidak tunaikan janji mereka.

Peserta Gatco setuju tawaran empat ekar dan dua ekar

Melalui memorandum tersebut sejumlah 170 orang peserta Gatco tersebut telah memohon dan bersetuju untuk terima tawaran empat ekar dan dua ekar tersebut dari Kerajaan Pakatan Harapan.

Kumpulan 170 orang ini diketuai oleh Encik Papaiyah. Encik Papaiyah memainkan peranan yang besar dalam memastikan 170 orang peserta Gatco yang diketuainya mendapat keadilan dalam isu kemelut tanah Gatco ini. Setelah meneliti keluasan tanah yang disumbangkan oleh Tamarai Holding maka Kerajaan Negeri ingin berlaku adil dan saksama kepada semua peserta Gatco dan Kerajaan Negeri tidak mahu melepaskan peserta Gatco dengan tangan kosong.

Kerajaan Negeri hanya ada 1,206 ekar sahaja dan dari jumlah ini Kerajaan Negeri akan agihkan kepada semua peserta Gatco yang layak dan tanah ini hanya sekadar cukup untuk semua peserta yang ada dalam senarai PKNNS.

Kerajaan Negeri tidak menyembunyikan apa-apa fakta. Untuk penilaian perserta Gatco, saya nasihatkan peserta yang belum setuju terima tawaran tersebut supaya mengunakan akal dan fikiran masing-masing.

Saya sebagai mantan peguam dan mempunyai kepakaran dalam undang-undang telah teliti dari semua aspek undang-undang. Maka, sekali lagi saya menyeru kepada peserta Gatco untuk terima apa yang ditawarkan kepada mereka pada masa ini.

Tidak perlu mendengar harapan palsu yang diberikan oleh sesetengah ahli politik kerana ianya adalah suatu tindakan ‘menegakkan benang yang basah’.

YB Veerapan Superamaniam
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan
ADUN Repah

Show More

Related Articles

Back to top button