BeritaProgram

Kerajaan Negeri Sembilan ambil langkah tangani krisis kenaikan harga barang

SEREMBAN: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan telah mengambil beberapa langkah dalam menangani krisis kenaikan harga barang bekalan makanan dan kos sara hidup antaranya menjalankan pemeriksaan dan pemantauan yang menyeluruh ke atas semua premis perniagaan di kawasan bandar dan luar bandar.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam berkata, pemantauan harga dilakukan secara harian, mingguan dan bulanan terhadap 480 jenis barang keperluan oleh Pegawai Pemantau Harga dapat mencegah dan mengelakkan peniaga daripada mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati.

“480 barang yang dipantau ini merangkumi barang basah, sayur-sayuran, barangan runcit, susu bayi, lampin pakai buang, ubat gigi dan lain-lain.

“Hasil dari pemantauan ini juga mendapati bekalan barang keperluan adalah mencukupi bagi seluruh Negeri Sembilan.

“Tiada berlaku kehabisan bekalan terhadap barang keperluan sepanjang pemantauan dibuat,” jelas beliau.

OPS ATM

Menurut Veerapan lagi, KPDNHEP NS telah menjalankan OPS ATM (ayam, telur, minyak masak) bertujuan memastikan harga barang yang dijual bermula 01 Julai 2022 adalah berpatutan dan mengekang peniaga yang tidak beretika daripada mengambil kesempatan mengaut keuntungan secara tidak munasabah.

“KPDNHEP Negeri Sembilan telah melaksanakan OPS ATM ini setiap hari bagi seluruh Negeri Sembilan dan laporan akan dihantar kepada ibu pejabat bagi memastikan tiada berlaku ketirisan dan kekurangan bekalan,” ujarnya.

Veerapan berkata demikian di Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-14 pada Selasa.

Terlebih dahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, YB Yap Yew Weng; ADUN Sungai Lui, YB Mohd Razi Mohd Ali ; ADUN Pertang, YB Noor Azmi Yusof dan ADUN Rantau, YB Dato’ Seri Mohamad Hasan mengemukakan soalan berkaitan isu kenaikan harga barang.

Show More

Related Articles

Back to top button