Kerajaan Perpaduan tidak abai kebajikan Masyarakat India: JALALUDDIN
JELEBU: Masyarakat India Negeri Sembilan sentiasa mendapat pembelaan daripada Kerajaan Perpaduan di negeri ini.
Exco Kanan Negeri Sembilan, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Kerajaan Negeri akan pastikan tidak ada mana-mana masyarakat yang tertinggal dalam pembelaan berkaitan kebajikan dan kesejahteraan.
“Saya menasihatkan masyarakat kaum India untuk terus mengekalkan semangat perpaduan antara kaum yang telah terbina sejak sekian lama, dengan membentuk amalan saling hormat menghormati antara kaum.
“Kita harap Deepavali ini dapat memberi keharmonian kepada keluarga dan masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Jalaluddin yang juga ADUN Pertang dan Ahli Parlimen Jelebu berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Deepavali Parlimen Jelebu di Simpang Pertang.
Jalaluddin turut menyampaikan bantuan “Duit Deepavali” kepada 210 keluarga kurang berkemampuan dan kanak-kanak.
Pada majlis tersebut juga diedarkan surat khabar Nogori Kito edisi Oktober untuk bacaan masyarakat setempat.
Turut hadir ADUN Sungai Lui, YB Mohd Razi Mohd Ali dan Timbalan Ketua MIC Negeri Sembilan, Encik Subramaniam.