Berita

Kerajaan PH Negeri Sembilan mengalu-alukan rakyat beri pandangan berkenaan Draf Rancangan Tempatan

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan membuka ruang kepada penduduk setempat untuk mengemukakan bantahan, pandangan dan rayuan terhadap apa-apa cadangan yang terkandung dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kuala Pilah dan Tampin.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, RTD merupakan suatu peta dan pernyataan bertulis disokong oleh garis panduan pelaksanaan. Ia menjelaskan semua cadangan perancangan guna tanah dan fizikal bagi seluruh Daerah Kuala Pilah dan Daerah Tampin sehingga tahun 2035.

“Matlamat RTD Kuala Pilah 2035 ini adalah Daerah Warisan dan Agropolis Negeri Sembilan: Berdaya Huni dan Berdaya Maju (Liveable And Vibrant).

“Manakala matlamat RTD Tampin 2035 adalah Menjadikan Tampin sebagai Daerah Agropolis Lestari, Pembangunan Ekonomi Mampan dan Kehidupan Sejahtera.

“Masyarakat tempatan serta mereka yang mempunyai kepentingan dalam merancang dan membangun kawasan Daerah Kuala Pilah dan Daerah Tampin, mempunyai hak untuk menyertai dan melibatkan diri dalam sesi Publisiti dan Penyertaan Awam ini,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di majlis perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam RTD Kuala Pilah dan RTD Tampin di Bandar Baru Sendayan.

Menurut Aminuddin, Rancangan Tempatan Daerah Kuala Pilah 2035 telah merangka 33 strategi pembangunan dengan 88 inisiatif, manakala Rancangan Tempatan Daerah Tampin 2035 telah merangka 24 strategi pembangunan dan disokong oleh 156 tindakan.

Program publisiti ini akan bermula 30 Mac 2021 sehingga 29 April 2021. Pemeriksaan Draf RTD tersebut boleh dilakukan di:

i. Ruang Legar Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) dan Majlis Daerah Tampin (MDT)
ii. Pejabat PLAN Malaysia@Negeri Sembilan

Pemeriksaan akan dibuka dari pukul 8.30 pagi sehingga jam 4.30 petang (hari bekerja).

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button