KPT Tegas Tidak Akan Kompromi Isu Pelajar Pijak Al-Quran
NILAI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan tindakan menghina agama, khususnya di institusi pengajian tinggi awam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir berkata, pihak kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada institusi dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perlakuan tidak beradab, termasuk menghina kitab suci Al-Quran.
“Ini adalah soal prinsip. Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan perbuatan menghina agama. Langkah susulan akan dibuat mengikut peraturan dan undang-undang yang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas Kembara Ramadan dan Iftar Perdana Universiti Sains Islam Malaysia di sini.
Susulan insiden pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah yang memijak Al-Quran sehingga tular di media sosial, pihak universiti telah mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis dan individu terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati kepelbagaian dan mengekalkan suasana harmoni di kampus.
“Kita semua bertanggungjawab membina suasana hormat-menghormati khususnya di universiti awam yang menempatkan pelajar daripada pelbagai latar belakang dan kaum,” tambah beliau.




