SEREMBAN: Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Rembau akan melaksanakan projek pembangunan di lokasi berisiko banjir dengan lebih berstruktur, sesuai dengan keadaan geografi dan faktor cuaca semasa supaya dapat mengurangkan kerugian dan kemusnahan harta benda awam.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, perancangan pembangunaan akan datang juga akan dilaksanakan dengan mendapatkan pandangan dari Jabatan Teknikal serta lantikan perunding.
“Pejabat Daerah dan Tanah Rembau akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menyelaras atau melaksanakan program yang boleh mengatasi dan membantu mengurangkan isu banjir di Lubok China dan Sungai Timun.
“Kawasan Lubok China adalah berada di dalam jajaran Sungai Rembau, di mana kerja-kerja penyelenggaraan sungai dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Yayasan Negeri Sembilan.
“Kerja yang dijalankan melalui kaedah timbal balik hasil secara mengeluarkan, mengalihkan dan mengangkut bahan batuan (pasir sungai) sejak tahun 2020.
“Manakala bagi Sungai Timun yang berada di dalam jajaran Sungai Pedas, tindakan dalam mengatasi kejadian banjir akan dilaksanakan dibawah projek tebatan banjir iaitu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Pedas yang telah bermula pada 11 November 2024 dan dijangka siap pada 10 November 2026,” jelas Aminuddin.
Beliau menambah, bagi tindakan jangka masa panjang, permohonan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Rembau akan dimohon dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) peringkat Persekutuan dan Negeri.
Aminuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Kota, Suhaimi Aini (BN) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.