SEREMBAN: Bagi menangani isu pembangunan tanah pertanian tanpa perundangan yang kukuh, Kerajaan Negeri Sembilan menekankan komitmen terhadap kelestarian pembangunan pertanian dengan tiga pendekatan.
EXCO (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, Dato’ Seri Jalaluddin Alias (Pertang-BN) berkata, tiga pendekatan tersebut adalah seperti berikut:
a) Cadangan Perundangan Baharu
Walaupun perundangan khusus belum tersedia, Kerajaan Negeri menyedari keperluan ini dan sedang dalam usaha untuk merangka peraturan yang lebih terperinci dan komprehensif.
Cadangan ini termasuklah mengadakan dasar khusus yang akan membawa pematuhan undang-undang sebagai langkah pemuliharaan tanah pertanian yang lestari.
Menerusi Mesyuarat Menteri Pertanian dengan Exco- Exco Pertanian Negeri Bilangan 1/2023 pada 15 November 2023, cadangan untuk menggubal Enakmen Pendaftaran Petani telah dipersetujui.
Status terkini mengenai pengubalan Enakmen tersebut adalah semua Kerajaan Negeri perlu memberi ulasan awal dan Kerajaan Negeri melalui Penasihat Undang-undang (PUU) telah memberi ulasan kepada Jabatan Pertanian Malaysia dan kita akan melihat kemajuan dalam tindakan susulannya.
b) Penyelarasan dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi
Sebarang projek pembangunan tanah pertanian yang melibatkan perubahan fizikal perlu diselaraskan dengan pihak berkuasa tempatan, yang dapat menetapkan syarat tambahan untuk melindungi kepentingan awam.
Kerjasama antara agensi membolehkan penambahbaikan kawalan terhadap pembangunan dan memastikan pematuhan kepada garis panduan ditetapkan.
c) Memantapkan Garis Panduan Sedia Ada
Dalam ketiadaan undang-undang, garis panduan pembangunan tanah pertanian boleh diperketatkan dan diperjelaskan, dengan memperkenalkan syarat-syarat tertentu bagi mengelakkan kerosakan kepada harta awam di sekitar kawasan pembangunan.
Garis panduan ini dapat menuntut pemaju tanah pertanian untuk melaksanakan penilaian kesan kepada persekitaran serta menetapkan langkah mitigasi sebelum memulakan sebarang projek.
Jalaluddin berkata demikian semasa menjawab pertanyaan ADUN Klawang, Dato’ Ir.Bakri Sawir (PH) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.
“Sebagaimana yang ADUN Klawang sedia maklum bahawa telah juga digariskan iaitu Panduan Khas Pembangunan Tanaman Durian Tanah Bercerun di Negeri Sembilan yang diluluskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada tahun 2022,” ujar Jalaluddin yang juga EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan.
Bakri dalam soalan beliau bertanya, adalah difahamkan ketika ini tiada undang-undang untuk mengawal dan mengambil tindakan kepada pihak yang membangunkan tanah pertanian yang menyebabkan kerosakan kepada harta awam di luar lot yang dibangunkan kecuali hanya ada garis panduan tertentu.
Apakah dasar dan tindakan Kerajaan Negeri terhadap isu ini? tanya Bakri.