BeritaMenarik

Sistem sewa payung pantai di Pantai Port Dickson bermula 16 Disember ini

SEREMBAN: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah mengambil inisiatif menangani isu khemah sewa di Telok Kemang secara menang-menang (win-win situation).

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J.Arul Kumar (Nilai-PH) berkata, berkuatkuasa 18 November 2024, tiada lagi aktiviti sewaan khemah dibenarkan di semua pantai Port Dickson.

“Bermula 18 November hingga 15 Disember 2024, MPPD akan melaksanakan kerja-kerja naiktaraf dan penyediaan plot bagi tujuan pelaksanaan kaedah baharu di Pantai Telok Kemang

“Ini termasuk penggunaan payung pantai yang lebih tersusun dan terkawal.

“Penentuan kawasan khas untuk penempatan payung pantai melibatkan sebahagian kecil Pantai 2 Telok Kemang dan Pantai 3 Telok Kemang,” ujar Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, MPPD menyediakan hanya 33 plot perniagaan payung pantai berdasarkan kesesuaian lokasi.

“Setiap plot berukuran 40 kaki x 20 kaki.

“Perniagaan sewaan payung pantai hanya dibenarkan berada di plot masing-masing berdasarkan keluasan yang telah dinyatakan.

“Berdasarkan jumlah peniaga semasa melebihi plot yang disediakan, kaedah undian peniaga yang layak akan dibuat oleh MPPD dalam tempoh terdekat.

“MPPD juga akan menyediakan lapan buah payung pantai, dua buah kerusi dan sebuah meja yang bersesuaian bagi setiap plot,” jelas Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, tarikh jangkaan kaedah baharu sewaan payung pantai yang lebih cantik dan tersusun akan bermula pada 16 Disember 2024.

“MPPD akan memasang papan tanda beserta nombor hotline Jabatan Penguatkuasa bertujuan mengingatkan Pantai Telok Kemang merupakan pantai awam dan memudahkan aduan bagi sebarang salah laku penggunaan pantai awam.

“MPPD juga akan menaiktaraf pusat kawalan di Pantai 3 Telok Kemang bagi menempatkan anggota secara statik terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“MPPD menyediakan peruntukan secara one-off meliputi kos payung pantai, kerusi, meja, naik taraf plot, naik taraf kawalan dan papan tanda berkaitan, ulas Arul Kumar lagi.

Arul Kumar berkata demikian semasa menjawab pertanyaan ADUN Lukut, Choo Ken Hwa (PH) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button