Wartawan Benteng Pertahan Integriti Maklumat di Era Fitnah Digital – Fahmi Fadzil
SEREMBAN: Wartawan disifatkan sebagai benteng utama dalam mempertahankan integriti maklumat, khususnya ketika masyarakat berdepan lambakan fitnah dan persepsi yang sering mengatasi realiti di era digital masa kini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peranan wartawan tidak lagi terbatas kepada mencatat dan melaporkan peristiwa semata-mata, sebaliknya menjadi antara suara penting dalam menegakkan kebenaran ketika masyarakat berdepan kekeliruan serta spekulasi.
“Cabaran penyebaran maklumat palsu yang mampu tersebar dalam sekelip mata menuntut pengamal media untuk terus berpegang kepada prinsip kewartawanan yang berteraskan integriti, ketelitian dan tanggungjawab.
“Ketika fitnah boleh tersebar dalam sekelip mata dan persepsi sering mengatasi realiti, wartawan berdiri di barisan hadapan sebagai benteng yang mempertahankan integriti maklumat.
“Peranan wartawan tidak terbatas kepada mencatat peristiwa semata-mata. Mereka juga menjadi antara suara penting yang menegakkan kebenaran ketika masyarakat berdepan kekeliruan dan spekulasi,” katanya menerusi hantaran sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA), hari ini.
Menurutnya, setiap berita yang disampaikan memerlukan penelitian, pengesahan serta rasa tanggungjawab yang tinggi kerana kepercayaan masyarakat bukan sesuatu yang mudah diperoleh.
“Keyakinan masyarakat terhadap media dibina melalui kejujuran, ketelusan dan kesungguhan yang ditunjukkan secara konsisten oleh pengamal media dalam menyampaikan laporan yang tepat dan berimbang.
“Setiap berita yang disampaikan memerlukan penelitian, pengesahan dan rasa tanggungjawab yang tinggi, kerana kepercayaan masyarakat bukan sesuatu yang boleh diperoleh dengan mudah, tetapi lahir daripada kejujuran, ketelusan dan kesungguhan yang konsisten.
“Apabila integriti dijadikan pegangan, dan kebenaran menjadi keutamaan, wartawan akan terus berdiri sebagai benteng maklumat yang sahih, kerana pada akhirnya, kewartawanan bukan hanya tentang menyampaikan berita, tetapi tentang memelihara amanah dan mempertahankan kepercayaan,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengamal media di negara ini sempena sambutan HAWANA dengan mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua wartawan.



