Berita

Tunku Besar Tampin, Che Puan Besar Tampin Santuni 44 Asnaf Menerusi Program Korban Aidiladha

ISEREMBAN: Seramai 44 asnaf fakir dan miskin di daerah Tampin disantuni menerusi Program Semarak Aidiladha yang berlangsung di perkarangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Daerah Tampin, semalam, dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan serta masyarakat setempat.

Program itu turut menyerlahkan keprihatinan Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed IdruKORs Al-Qadri bersama Yang Mulia (YM) Che Puan Besar Tampin, Che Puan Anis Sobari apabila baginda berdua menyumbangkan dua ekor lembu korban sempena Program Ibadah Korban.

Program berkenaan telah dijayakan dengan kerjasama Pejabat Balai Tunku Besar Tampin, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) daerah Tampin, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Tampin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin serta masjid-masjid sekitar daerah itu.

Sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada lima ekor lembu yang dikorbankan, selain menjadi simbol komitmen berterusan institusi diraja Tampin dalam membantu golongan memerlukan, khususnya asnaf di daerah tersebut.

Majlis dimulakan dengan akad penyerahan lembu korban oleh YTM Tunku Besar Tampin kepada Dr Mohd Yazid Saad sebelum proses penyembelihan dan pengagihan daging korban dilaksanakan kepada penerima yang layak.

Selain menerima sumbangan daging korban, para asnaf turut menerima sumbangan hari raya melalui pengkreditan ke akaun, elaun kehadiran serta bakul makanan daripada Balai Tunku Besar Tampin yang disempurnakan sendiri oleh YTM Tunku Besar Tampin.

Program berkenaan turut mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan serta penduduk setempat sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dan gotong-royong dalam suasana Aidiladha.

Sebagai pengisian rohani sempena sambutan Aidiladha, program itu turut diserikan dengan ceramah bertajuk ‘Pengorbanan Dalam Kehidupan Kita’ yang disampaikan oleh penceramah, Ustaz Mohammad Fadhli Abdullah, selain dihadiri Pegawai MAINS Daerah Tampin, Junaidi Yahaya.

Show More

Related Articles

Back to top button