Aminuddin Ziarah Mangsa Serangan Buaya di Hospital Port Dickson

PORT DICKSON: Mangsa serangan buaya di Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas menerima lawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun bersama isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof di Hospital Port Dickson, hari ini.
Mangsa, Jaafa Hasan kini berada dalam keadaan stabil dengan kedua-dua kakinya dilihat berbalut akibat kecederaan yang dialami dalam kejadian tersebut.
Dalam lawatan itu, Aminuddin turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada mangsa bagi membantu meringankan beban sepanjang tempoh rawatan.
Dalam pada itu, Aminuddin turut menziarahi seorang lagi pesakit di hospital berkenaan yang dilaporkan cedera selepas diserang monyet.

Aminuddin turut menzahirkan rasa simpati terhadap kedua-dua kejadian berkenaan serta mendoakan agar semua mangsa diberikan kesembuhan segera dan kembali sihat seperti sediakala.
Terdahulu, Jaafa Hasan dilaporkan diserang buaya ketika menjala udang di Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas kira-kira pukul 5.40 pagi sebelum berjaya menyelamatkan diri.
Mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang serta pendarahan di beberapa bahagian badan.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.



