Berita

Tujuh ekor lembu dikorban semarak semangat kebersamaan di Kampung Pachitan

PORT DICKSON: Suasana sambutan Hai Raya Aidiladha di Kampung Pachitan, Port Dickson berlangsung meriah dan penuh semangat gotong-royong apabila sebanyak tujuh ekor lembu ditumbangkan sempena ibadah korban tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, program yang melibatkan penduduk kampung serta jawatankuasa setempat itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah mengukuhkan lagi semangat ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

“Sambutan Aidiladha mengingatkan umat Islam mengenai nilai pengorbanan, keikhlasan dan semangat membantu sesama insan yang semakin penting dalam kehidupan bermasyarakat hari ini.

“Melihat masyarakat berganding bahu, saling membantu dan berkongsi rezeki benar-benar menyentuh hati serta menghidupkan semangat ukhuwah yang semakin mahal nilainya hari ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Seusai penyembelihan korban melibatkan tujuh ekor lembu, penduduk kampung bersama sukarelawan Pusaqt Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Port Dickson bergotong-royong melapah serta mengagihkan daging korban kepada penduduk setempat, khususnya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

“Semangat kerjasama dan kebersamaan yang dipamerkan masyarakat setempat mencerminkan nilai sebenar Aidiladha yang menuntut sifat ihsan serta kasih sayang sesama insan.

“Semoga ibadah korban pada tahun ini bukan sahaja menjadi amal kebajikan, tetapi juga menjadi iktibar untuk kita terus memupuk sifat keikhlasan, pengorbanan dan kasih sayang sesama insan,” ujar Aminuddin.

Dalam pada itu, penghargaan turut diberikan kepada seluruh jawatankuasa, petugas dan penduduk kampung yang bersama-sama menjayakan ibadah korban tersebut.

“Alhamdulillah, segala urusan penyembelihan dan pengagihan daging korban dilaporkan berjalan dengan baik serta lancer,” ulas Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button