Tiada sidang khas DKU Negeri Sembilan diadakan hari ini

SEREMBAN: Mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan yang dicadangkan oleh enam pembesar adat negeri ini disahkan tidak akan berlangsung hari ini.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat mengeluarkan jemputan rasmi untuk sidang berkenaan kerana isu tersebut kini sedang dalam proses perundangan di Mahkamah Tinggi Seremban menerusi saman pemula yang difailkan oleh kumpulan pembesar adat terbabit.
Menurut beliau, pihak yang memfailkan saman tidak mempunyai kuasa untuk memanggil atau mengadakan mesyuarat DKU secara sendiri.
“Sehubungan itu, pemanggilan Mesyuarat Khas DKU pada 29 Mei 2026 seperti dinyatakan dalam surat pembesar adat berkenaan tidak dianggap sah sebagai mesyuarat rasmi DKU.
“Oleh demikian, tiada Mesyuarat Khas DKU akan berlangsung pada tarikh tersebut,” katanya menerusi surat kepada enam pembesar adat yang turut dilihat media.
Terdahulu, pada 24 Mei lalu, enam pembesar adat terbabit telah menghantar notis kepada Raja Norazli bagi meminta jemputan rasmi dikeluarkan untuk sidang khas DKU yang dirancang berlangsung hari ini di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin bermula pukul 9 pagi.
Notis tersebut dikatakan mendapat persetujuan majoriti ahli DKU dan ditandatangani oleh Undang Luak Sungai Ujong yang didakwa telah dipecat, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; serta Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.
Turut menurunkan tandatangan ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Dalam pada itu, Raja Norazli menegaskan tindakan mengeluarkan notis berkenaan dianggap tidak sesuai kerana boleh menjejaskan integriti prosiding mahkamah yang sedang berjalan.
Beliau turut memaklumkan bahawa DKU berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana langkah yang dilakukan secara sebelah pihak sekiranya ia boleh mengganggu atau memprejudiskan proses mahkamah.
Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Seremban pada 13 Mei lalu telah mula mendengar saman pemula difailkan oleh kumpulan pembesar adat tersebut. Antara tuntutan dikemukakan ialah permohonan supaya DKU, Raja Norazli serta kerajaan negeri menyerahkan minit mesyuarat Sidang Khas DKU yang berlangsung pada 17 April lalu.



