Berita

Malaysia Kukuhkan Hubungan Strategik dengan Arab Saudi Melalui Kerjasama SMCC

SEREMBAN: Malaysia terus memperkukuh hubungan strategik dengan Arab Saudi khususnya dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan melalui kerjasama dua hala di bawah Saudi-Malaysian Coordination Council (SMCC).

Menerusi hantaran di media sosial Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pertemuan dua hala antara Duli Yang Teramat Mulia Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif bin Abdulaziz Al Saud diadakan bagi meninjau perkembangan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

“Hubungan erat Malaysia–Arab Saudi terus diperkukuh melalui SMCC yang menjadi platform utama penyelarasan pelbagai inisiatif kerjasama dua hala.

“Melalui Kluster Keselamatan SMCC, kedua-dua negara telah memuktamadkan tujuh bidang kerjasama utama melibatkan keselamatan sempadan, pencegahan keganasan, keselamatan siber, imigresen, forensik, operasi mencari dan menyelamat serta usaha membanteras jenayah narkotik,” katanya.

Menurut Saifuddin, Jawatankuasa Pakar (Committee of Expert) telah mencapai persetujuan bagi pelaksanaan 10 inisiatif strategik yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan kedua-dua negara.

“Perkembangan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi dalam memperkukuh perkongsian kepakaran, pertukaran maklumat risikan serta kerjasama penguatkuasaan bagi menangani cabaran keselamatan rentas sempadan yang semakin kompleks,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Putera Abdulaziz turut menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengangkat pendekatan diplomasi dan dialog di peringkat antarabangsa.

Saifuddin Nasution yang juga merupakan antara jemaah haji tahun ini berkata beliau dapat melihat sendiri kesungguhan dan kecekapan pihak berkuasa Arab Saudi dalam menyediakan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan bagi melancarkan perjalanan ibadah jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia.

“Saya berharap hubungan erat Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh demi keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button