MoF Ambil Serius Salah Guna MyKad Dalam Transaksi BUDI95

SEREMBAN: Kementerian Kewangan (MoF) memandang serius beberapa aduan terkini berhubung dakwaan penggunaan maklumat MyKad tanpa kebenaran bagi transaksi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Menurut MoF, penggunaan atau pemilikan MyKad milik individu lain tanpa kuasa sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kami memberi amaran keras agar tiada pihak menyalahgunakan nombor atau maklumat MyKad individu lain bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI95,” katanya.
Dalam pada itu, MoF turut mengarahkan syarikat peruncit minyak memperketat pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi.
“Mana-mana urus niaga secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad adalah tidak dibenarkan.
“Tindakan itu boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan subsidi serta pelanggaran integriti pelaksanaan program,” katanya.
Selain itu, syarikat peruncit minyak juga diarahkan menjalankan siasatan lanjut terhadap transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap stesen terlibat.
“Latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran serta penambahbaikan pemantauan dalaman turut dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, langkah pembetulan turut merangkumi penyaluran pampasan bersesuaian kepada pelanggan terkesan tertakluk kepada hasil siasatan.
Tambah MoF, syarikat peruncit juga dikehendaki menghubungi pemegang MyKad yang terlibat bagi membincangkan isu berkenaan.
“Kami akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar,” katanya.
Mengulas lanjut, penerima BUDI95 digalakkan menyemak rekod transaksi masing-masing melalui portal rasmi BUDI MADANI dan membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi tanpa kebenaran.
Mereka yang terkesan boleh mengemukakan aduan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian kepada Pusat Khidmat BUDI MADANI (BMCC) dengan melampirkan laporan polis, salinan kad pengenalan serta senarai transaksi berkaitan.



